Tiada campur tangan istana dalam pelantikan Undang Luak Rembau Ke-22
REMBAU – Pelantikan pesara guru, Hassan Ab Hamid sebagai Undang Luak Rembau Ke-22 dilaksanakan sepenuhnya mengikut lunas Adat Perpatih tanpa sebarang campur tangan daripada pihak istana.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Kerapatan Buapak Lapan Kampung Waris Biduanda Dua Carak, Datuk Juan Datuk Zulkipli Shamsudin.
Beliau berkata, pemilihan Undang Luak Rembau merupakan hak eksklusif masyarakat adat di Luak Rembau yang dilaksanakan menerusi proses pemuafakatan mengikut adat yang telah diamalkan sejak sekian lama.
Menurutnya, kekosongan jawatan Undang Luak Rembau berlaku selepas penyandang ke-21, Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman meninggal dunia pada 15 Mei 2024 akibat sakit tua ketika berusia 82 tahun.
“Menurut proses Adat Perpatih, hak memilih Undang baharu terletak pada anak Waris Biduanda, Buapak dan Ibu Soko Waris Biduanda Nan Dua Carak melalui kerapatan yang diadakan.
“Hasil kerapatan tersebut, Buapak dan Ibu Soko Waris Biduanda Nan Dua Carak sebulat suara memilih Hassan Ab Hamid, seorang guru bersara yang dihormati sebagai Undang Luak Rembau Ke-22,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, selepas pemilihan dibuat, pihaknya menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bagi memohon perkenan menetapkan tarikh Istiadat Kejadian sebelum Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Rembau disempurnakan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, semalam.
Zulkipli berkata, sistem Adat Perpatih meletakkan kuasa adat bermula daripada akar umbi masyarakat, manakala Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berperanan sebagai pemegang amanah dalam memastikan kelangsungan adat dan institusi negeri terus terpelihara.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pengisytiharan oleh Abdul Rahim Yasin yang mendakwa dirinya sebagai Undang Luak Rembau ke-22 adalah tidak sah kerana tidak mematuhi prosedur dan tatacara yang ditetapkan dalam Adat Perpatih.
Menurutnya, individu berkenaan juga tidak memenuhi syarat pelantikan kerana tidak melalui Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Justeru, pelantikan Abdul Rahim tidak diiktiraf di bawah adat,” katanya.
Beliau berkata, dengan selesainya Istiadat Kejadian Undang Luak Rembau di Istana Seri Menanti semalam, Hassan yang menerima gelaran Datuk Sedia Raja akan meneruskan tanggungjawab mempertahankan dan memelihara Adat Perpatih serta memastikan hubungan harmoni antara institusi Undang, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan rakyat terus terpelihara.
“Kami berharap Istiadat Kejadian Undang Luak Rembau ini membuka lembaran baharu dalam memartabatkan Adat Perpatih, sekali gus menamatkan segala spekulasi yang tidak sewajarnya,” katanya.
Semalam, Tuanku Muhriz berkenan menerima menghadap bagi menzahirkan Kejadian Undang Luak Rembau ke-22 di Istana Besar Seri Menanti yang menyaksikan Hassan dizahirkan sebagai Undang selepas dipilih mengikut adat di luak berkenaan.
Dalam titah baginda, Tuanku Muhriz menyifatkan pelantikan itu sebagai satu amanah besar yang lahir daripada pemuafakatan adat dan perlu dipikul dengan penuh keikhlasan, kebijaksanaan serta rasa tanggungjawab demi memelihara keluhuran adat dan kesejahteraan rakyat di Luak Rembau.
Baginda turut bertitah agar sebarang perselisihan atau permasalahan diselesaikan dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan semangat muafakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






