20 Datuk Lembaga dan Buapak Luak Rembau angkat sumpah taat setia kepada Abdul Rahim
REMBAU – Seramai 20 Datuk Lembaga dan Buapak Luak Rembau membuat akuan bersumpah menzahirkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada Datuk Sedia Raja Abdul Rahim Yasin selaku Datuk Undang Luak Rembau Ke-22.
Akuan bersumpah bertarikh 6 Mei 2026 itu melibatkan dua Orang Besar Luak Rembau, 16 Datuk Lembaga pelbagai suku dan dua wakil Buapak Delapan Kampung yang bernaung di bawah sistem Adat Perpatih Luak Rembau.
Menerusi dokumen berkenaan, kesemua mereka berikrar untuk menumpukan kesetiaan sepenuhnya kepada Abdul Rahim serta mendukung dan memelihara keandikaannya dalam menjalankan kuasa serta keistimewaan sebagai Undang Luak Rembau.
Mereka turut berjanji mempertahankan kedudukan Datuk Undang Luak Rembau Ke-22 selaras dengan aturan adat Luak Rembau dan peruntukan yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Menurut kandungan akuan bersumpah itu, mana-mana individu yang mengingkari ikrar berkenaan dianggap melakukan penderhakaan terhadap Datuk Undang Luak Rembau.
Tindakan tersebut boleh menyebabkan mereka dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin dan berdepan kemungkinan kehilangan jawatan pusaka yang disandang mengikut aturan adat yang berkuat kuasa.
Akuan bersumpah itu ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, Muhammad Muneer Abdullah.
Antara yang menandatangani akuan tersebut ialah Orang Besar Luak Rembau, Datuk Menteri Lela Perkasa Haris Abd Talib dan Datuk Raja Diraja Mejar Bahaman Harun.
Turut menandatangani dokumen berkenaan ialah Datuk Perba Abdul Razak Mohd Yassin (Suku Biduanda Waris Nan Dua Carak), Datuk Merbangsa Azmi Ahmad (Suku Paya Kumbuh Baruh), Datuk Gempa Maharaja Zaharudin Idris (Suku Batu Hampar Minangkabau Baruh), Datuk Mendelika Ab Ahmid Abdul Malek (Suku Seri Melenggang 4 Ibu), Datuk Andika Muhammad Hanif Shaharuddin (Suku Batu Belang) dan Datuk Seri Maharaja Abu Zarin Abdul Samad (Suku Paya Kumbuh Darat).
Selain itu, Datuk Sinda Maharaja Baharin Sharif (Suku Seri Lemak), Datuk Samsura Pahlawan Mohd Ilmy Mohd Zain (Suku Mungkal Baruh), Datuk Maharaja Jinda Mohd Radzi Long (Suku Tanah Datar Darat), Datuk Putih Mohamad Aman Shah Yaakob (Suku Batu Hampar Pattani), Datuk Sutan Bendahara Ahmad Puad Hassan (Suku Batu Hampar Darat), Datuk Ganti Maharaja Muhamad Yusof Ab Rahman (Suku Anak Melaka), Datuk Lelawangsa Badrol Sham Maarof (Suku Anak Acheh), Datuk Panglima Dagang Ruslan Nunet (Suku Seri Melenggang Minangkabau) dan Datuk Mengkuta Tajudin Yusof (Suku Seri Melenggang) turut terlibat.
Turut mengangkat sumpah ialah Buapak Delapan Kampung, Datuk Paduka Maharaja Zulkepli Ibrahim, Datuk Menteri Maharaja Mohamed Said Mustaffa dan Datuk Orang Kaya Muda Mustapa Padzir Eusope.
Langkah tersebut dilihat sebagai pengukuhan sokongan kepimpinan adat Luak Rembau terhadap institusi Undang serta kesinambungan pelaksanaan adat dan tradisi yang menjadi teras pemerintahan adat di Negeri Sembilan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

