Rumah ibadat perlu patuh undang-undang demi keharmonian – Sultan Pahang
TEMERLOH – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa setiap pembinaan rumah ibadat di negeri ini wajib mematuhi undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan keharmonian masyarakat majmuk terus terpelihara.
Baginda bertitah, sebarang pembinaan yang dilakukan tanpa melalui saluran sah bukan sahaja melanggar peraturan, malah berisiko mencetuskan salah faham serta ketegangan antara kaum dan agama.
“Undang-undang ini bukan untuk menyekat, bukan juga untuk menindas, tetapi untuk menyelaraskan serta menjamin keadilan dan keharmonian bersama,” titah Baginda menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, hari ini.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Masjid Tengku Amir Ibrahim Sultan Abdullah di Taman Bukit Bendera, di sini semalam.
Dalam pada itu, Baginda mengingatkan bahawa tindakan mana-mana pihak yang bertindak mengikut pertimbangan sendiri tanpa merujuk peraturan boleh menimbulkan kekeliruan serta perbalahan dalam kalangan masyarakat.
“Ibarat membina rumah tanpa pelan, akhirnya akan roboh menyembah bumi,” titah Baginda sambil menegaskan bahawa Negeri Pahang memerlukan ketertiban dan bukannya tindakan terburu-buru yang mengundang sengketa.
Sehubungan itu, Baginda menyeru pihak berkuasa termasuk pihak berkuasa tempatan, jawatankuasa rumah ibadat bukan Islam, Jabatan Agama Islam serta pemimpin komuniti agar berganding bahu memperjelaskan prosedur dan memberi bimbingan sewajarnya kepada masyarakat.
Turut berangkat pada majlis itu, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








