Sultan Pahang nasihat mangsa banjir bersabar, waspada kemungkinan gelombang kedua
KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan semua mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) agar tidak tergesa-gesa pulang ke kediaman masing-masing berikutan kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir dalam masa terdekat.
Titah Baginda, terdapat kebarangkalian gelombang kedua berlaku pada minggu depan dan semua pihak perlu bersabar serta mengambil langkah berjaga-jaga.
“Saya dimaklumkan kemungkinan gelombang kedua berlaku minggu depan, jadi jangan balik terlalu cepat. Kita perlu bersabar dan teruskan berdoa agar perkara ini tidak berlaku.
“Kita lakukan solat hajat dan berdoa ke hadrat Allah SWT supaya dijauhi daripada musibah,” titah Baginda menerusi hantaran di Facebook ketika berangkat menyantuni mangsa banjir serta menyampaikan kurniaan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bunut Rendang, di sini semalam.
Dalam pada itu, Baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana keadaan banjir di Pahang masih terkawal berbanding bencana banjir besar yang sedang melanda negara jiran seperti Aceh ketika ini.

Terdahulu, sebaik tiba di Pangkalan Udara Kuantan dari Sukan SEA Thailand pada tengah hari, Sultan Pahang segera melakukan tinjauan udara bagi melihat sendiri situasi banjir di negeri ini.
Baginda bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menaiki helikopter meninjau kawasan pedalaman, khususnya di sepanjang Sungai Pahang melibatkan Lepar, Pekan, Sungai Lembing dan Kuantan.
“Saya perhatikan ada kawasan yang belum pulih sepenuhnya meskipun cuaca bertambah baik. Jalan-jalan di kawasan Pulau Manis, Pekan dan Bukit Kenau masih terputus hubungan.
“Saya sentiasa berdoa agar cuaca terus bertambah baik. Alhamdulillah, hari ini (semalam) saya bukan sahaja membawa pingat emas tetapi saya bawa matahari juga. Dengan izin Allah SWT, dari seberang laut telah membawa sinaran matahari ke Pahang,” titah Baginda bagi menceriakan mangsa-mangsa banjir.
Baginda seterusnya berkenan berangkat ke PPS SK Bunut Rendang yang menempatkan seramai 649 keluarga sebelum meneruskan lawatan ke tiga PPS lain iaitu SM Chong Hwa, SK Mat Kilau dan SMK Mat Kilau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








