Hajat Konstabel Rahimi bertunang selepas Aidilfitri tidak kesampaian
KLUANG – Impian seorang anggota polis untuk melangkah ke fasa pertunangan bersama gadis pilihannya selepas Aidilfitri tahun hadapan tidak kesampaian, apabila dia ditemukan lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus deras di Kampung Giching, Sepang pada malam Jumaat lalu.
Konstabel Muhammad Rahimi Amirudin, 23, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai sejak setahun lalu, dikatakan baru pulang membeli cincin sebagai persiapan terakhir majlis merisik dan pertunangannya sebelum kejadian yang meragut nyawanya.

Bapanya, Amirudin Mohd Hanifah, 52, berkata, arwah sempat menikmati makan malam bersama bakal tunangnya serta keluarga sebelum bersiap untuk bertugas pada pukul 11 malam.
Bagaimanapun, perjalanan ke tempat kerja terhalang apabila laluan yang ingin dilalui dinaiki air.
“Sebelum dihanyutkan arus, arwah sempat bertanya kepada penduduk sama ada jalan itu boleh dilalui atau tidak, namun dia tetap melaluinya walaupun telah dinasihatkan supaya tidak berbuat demikian.
“Ketika melalui lintasan air tersebut, kereta arwah dikatakan hanyut ke dalam tali air, menyebabkan dia terpaksa keluar dari kenderaan dan berenang ke tepi sebelum dihanyutkan arus deras,” katanya memetik laporan BH Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Taman Purnama, Simpang Renggam, di sini malam tadi.
Jenazah Muhammad Rahimi disembahyangkan di Surau Ar Raudah, Penjara Simpang Renggam sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Taman Purnama dan dikebumikan pada pukul 10 malam.
Amirudin turut menzahirkan penghargaan kepada semua anggota pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus dalam operasi mencari dan menyelamat sehingga jasad anaknya ditemukan pagi semalam.
Terdahulu, media melaporkan bahawa mangsa cuba menyelamatkan diri dengan berenang setelah keluar daripada keretanya yang tersangkut akibat paras banjir tinggi.
Arwah dilihat berpaut pada tiang papan tanda jalan dalam keadaan lengkap beruniform sebelum dihanyutkan arus deras kira-kira pukul 10.30 malam.
Jenazah Allahyarham ditemukan kira-kira 50 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang pada pukul 7.30 pagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








