949 pek bantuan disalurkan kepada mangsa banjir di Larut, Matang dan Selama
TAIPING – Seramai 949 mangsa banjir di sekitar daerah Larut, Matang dan Selama menerima bantuan makanan serta keperluan asas hasil inisiatif Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak dengan kerjasama AMK Pusat semalam.36
Bantuan tersebut diagihkan ke beberapa lokasi terjejas termasuk Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Temerlok, PPS ADTEC Taiping, Masjid Nurul Hidayah Kuala Terung, PPS Air Putih, PPS Changkat Larah dan Tempat Perlindungan Sungai Reluh.

AMK Perak berkata, bantuan yang disalurkan meliputi pek makanan siap saji, roti, biskut, air minuman serta barangan mandian, bagi memastikan keperluan harian mangsa dapat dipenuhi sepanjang tempoh pemindahan.
“Misi ini dilaksanakan hasil keputusan Mesyuarat Khas Penyelarasan Banjir AMK Perak pada 23 Oktober lalu, dengan kerjasama erat antara AMK Pusat dan AMK negeri bagi memastikan bantuan sampai segera kepada semua mangsa terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua PKR Cabang Taiping, Ahmad Zahid Khalid yang turut hadir mengiringi pasukan bantuan berkenaan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan misi tersebut.
“Sebagai tuan rumah, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua sukarelawan dan agensi yang membantu.
“Terima kasih juga kepada Wanita PKR Perak yang turut hadir dalam program berasingan bagi menyantuni mangsa banjir,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Ahmad Zahid turut berkata, kepentingan kesedaran terhadap perubahan iklim yang semakin mencabar dan menggesa semua pihak agar lebih peka terhadap isu alam sekitar.
“Setiap lapisan masyarakat perlu lebih cakna dalam menghadapi cabaran iklim dunia yang kian berubah. Kebersihan komuniti harus menjadi keutamaan dan pembuat dasar pula perlu mengambil kira faktor perubahan iklim dalam setiap keputusan yang dibuat,” katanya lagi.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan AMK dalam mendukung semangat Malaysia MADANI melalui gerak kerja kemanusiaan yang menekankan keprihatinan terhadap rakyat yang ditimpa musibah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








