BERITA SEMASA

Kerajaan bakal umum langkah tambahan bantu golongan tersisih peluang pekerjaan – Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengumumkan langkah tambahan dalam masa terdekat bagi membantu golongan yang masih terpinggir daripada peluang pekerjaan, khususnya susulan cabaran ekonomi dan krisis bekalan global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu akan memberi tumpuan kepada golongan siswazah serta graduan diploma yang masih menganggur bagi memastikan kemahiran mereka tidak disia-siakan.

“Saya akan umumkan langkah tambahan supaya kelompok yang tersisih daripada peluang pekerjaan termasuk siswazah menganggur ataupun lulusan diploma. Kita akan umumkan dalam masa singkat,” katanya selepas mempengerusikan Sesi Meja Bulat Bersama Institusi Kewangan di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Sebelum itu, kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah bagi membantu rakyat menghadapi kesan krisis ekonomi global, termasuk pengekalan harga petrol melalui program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) serta subsidi diesel untuk Sabah dan Sarawak.

Selain itu, kerajaan turut meningkatkan bantuan di bawah BUDI Diesel dan Agri-Komoditi, Insentif Pembajakan kepada pesawah serta menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM5 bilion bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Berdasarkan statistik semasa, kadar pengangguran negara kekal pada paras 2.9 peratus pada Februari 2026 dengan 506,800 individu masih menganggur.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button