Aliff Syukri sumbang lebih RM15,000 bantu keluarga Norish Karman
KUALA LUMPUR – Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman terus menunjukkan keprihatinan apabila memberi sumbangan tunai lebih RM15,000 kepada keluarga pelakon Norish Karman hasil jualan produknya menerusi siaran langsung di TikTok malam tadi.
Menurut Aliff, sumbangan tersebut dianggap sebagai ‘gaji’ buat Norish dan anak-anaknya yang turut membantu mempromosikan serta melariskan jualan produk sepanjang sesi siaran langsung berkenaan.
“Ini adalah gaji Norish dan anak-anak yang membantu melariskan jualan produk saya hari ini.
“Saya ingin tegaskan, mereka hadir bukan untuk meminta-minta, sebaliknya sekadar ingin beraya dan memohon peluang pekerjaan sama ada sebagai hos ‘live’ TikTok atau staf di pejabat,” kata Aliff memetik laporan Kosmo! Online.

Tambah beliau, bantuan itu diberikan kerana percaya dirinya hanyalah perantara rezeki daripada Allah SWT untuk meringankan beban kehidupan keluarga tersebut.
BACA JUGA:
Kesihatan Norish Karman semakin merosot, keluarga rayu doa dan bantuan
Azar Azmi terima bantuan RM35,000 daripada Aliff Syukri, bakal bekerja dengan usahawan sensasi
Aliff turut mengakui tidak dapat menahan sebak apabila melihat keadaan hidup Norish bersama lapan orang anaknya yang serba kekurangan, termasuk tidak memiliki televisyen dan sofa di kediaman mereka.
“Saya sedih melihat keluarga Norish. Walaupun hidup dalam kesusahan, mereka tetap gembira dan saling menyayangi.
“Terima kasih kepada semua yang menonton serta membeli produk saya sehingga bantuan ini dapat disalurkan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, anak sulung Norish, Hanyz Amanda atau Manda, sebelum ini merayu agar diberikan peluang pekerjaan bagi membantu menyara keluarga.
Menurut Aliff, Manda menyatakan kesediaannya untuk bekerja dalam apa jua bidang termasuk sebagai hos siaran langsung atau cef.
Sementara itu, Norish yang sebak dengan jumlah sumbangan yang diterima merakamkan penghargaan kepada Aliff dan isterinya, Datin Seri Shahida Mohd Rashid atas keprihatinan mereka membantu keluarganya.
“Alhamdulillah, terima kasih datuk, datin dan seluruh rakyat Malaysia yang pemurah.
“Anggaplah ini satu perkongsian dan semoga suatu hari nanti kita juga dapat membantu orang lain seperti Datuk Aliff,” katanya.
Terdahulu, Manda menarik perhatian ramai apabila mendedahkan keadaan kesihatan ibunya yang semakin merosot sehingga memerlukan rawatan di hospital.
Beliau juga telah membuka tabung dalam talian bagi mengumpul sumbangan orang ramai untuk menampung kos rawatan tersebut.
Sebelum ini, Aliff turut membantu pelakon Azar Azmi apabila menyalurkan lebih RM35,000 selepas melakukan sesi live di TikTok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








