Kesihatan Norish Karman semakin merosot, keluarga rayu doa dan bantuan
KUALA LUMPUR – Keadaan kesihatan pelakon wanita, Norish Karman dilaporkan semakin merosot sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga dan peminatnya.
Khabar duka itu dikongsikan oleh anak perempuannya, Manda atau lebih dikenali sebagai Chichi menerusi satu hantaran di Threads.
“Bunda yang kami kasihi kini berada dalam keadaan kesihatan yang semakin merosot. Beliau berada dalam situasi berisiko tinggi.
“Apa daya kami sebagai anak-anak yang masih jauh perjalanan hidup dan belum mampu memberikan yang terbaik.
“Saya sangat berharap kepada sesiapa yang membaca ini, mohon titipkan doa. Bagi kami, itulah harapan yang masih ada,” tulisnya.
Menurut Manda, keadaan ibunya kini memerlukan penjagaan rapi sehingga pelakon berkenaan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda bagi mengurangkan tekanan terhadap jantung.
“Doakan agar Allah SWT memberikan Bunda kami peluang untuk mendapatkan rawatan, mengurniakan kesembuhan dan mengangkat segala kesakitan yang ditanggung oleh NK. Kami tidak sanggup lagi melihat keperitan yang dilaluinya.
“Ketika ini, NK menggunakan kerusi roda agar tidak perlu memberi tekanan berlebihan kepada jantungnya,” katanya lagi.
Sepanjang kariernya, Norish, 51, dikenali menerusi beberapa naskhah popular termasuk filem Sayang Salmah serta drama bersiri seperti Spa Q dan Puteri.
Dalam masa sama, Manda turut membuka ruang kepada orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan dalam apa juga bentuk, khususnya sokongan kewangan bagi menampung kos rawatan serta keperluan harian mereka.
“Sekiranya ada di luar sana yang berhati mulia dan sudi menghulurkan bantuan, setiap sokongan tidak kira doa, tenaga, terutamanya bantuan kewangan amat besar maknanya buat saya dan adik-adik,” ujarnya lagi.
Hantaran tersebut terus mendapat perhatian warga maya yang membanjiri ruangan komen dengan doa dan kata-kata semangat, berharap agar urusan keluarga Norish Karman dipermudahkan serta diberikan kesembuhan
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



