LUAR NEGARA

Puteri Thailand kritikal, bergantung mesin sokongan hayat sejak 2022

BANGKOK – Keadaan kesihatan puteri sulung Raja Thailand, Puteri Bajrakitiyabha Mahidol dilaporkan semakin merosot selepas lebih tiga tahun menerima rawatan di hospital sejak rebah ketika sesi latihan anjing tentera pada Disember 2022.

Menurut kenyataan Biro Isi Rumah Diraja Thailand hari ini, puteri berusia 47 tahun itu kini mengalami jangkitan pada bahagian perut akibat radang usus besar selain menunjukkan tanda-tanda vital tidak stabil termasuk tekanan darah rendah, degupan jantung tidak teratur dan pembekuan darah yang tidak normal.

Pihak istana memaklumkan, Puteri Bajrakitiyabha Mahidol masih bergantung kepada mesin sokongan hayat bagi membantu fungsi paru-paru dan buah pinggangnya.

“Keadaan beliau terus merosot,” menurut kenyataan itu sambil menjelaskan jangkitan berkenaan kini tidak terkawal dan mula menjejaskan organ-organ lain.

Sebelum ini, pihak istana pernah memaklumkan puteri berkenaan mengalami jangkitan darah serius yang menyebabkan beberapa fungsi organ utama gagal berfungsi secara normal.

Dikenali sebagai ‘Puteri Bha’ dalam kalangan rakyat Thailand, beliau mendapat pendidikan di Britain, Amerika Syarikat dan Thailand selain pernah memegang beberapa jawatan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau juga aktif memperjuangkan layanan lebih baik terhadap wanita di penjara.

Puteri Bajrakitiyabha Mahidol ialah anak tunggal hasil perkahwinan pertama Maha Vajiralongkorn yang kini berusia 73 tahun.

Raja Thailand itu mempunyai tujuh anak daripada empat perkahwinan, namun sehingga kini masih belum mengumumkan pewaris takhta pilihannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button