Azar Azmi terima bantuan RM35,000 daripada Aliff Syukri, bakal bekerja dengan usahawan sensasi
KUALA LUMPUR – Pelakon Azar Azmi tidak dapat menahan sebak apabila menerima bantuan wang tunai lebih RM35,000 yang disalurkan oleh usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman menerusi siaran langsung di platform TikTok, malam tadi.
Menurut Aliff, bantuan tersebut dihulurkan atas rasa empati terhadap kesempitan hidup yang sedang dihadapi pelakon berkenaan.
“Saya bantu seorang wanita yang kesempitan hidup hari ini. Dia datang pada saya, minta kerja sebagai tukang ‘packing’ barang dengan gaji RM1,700.
“Tapi hari ini saya bantu dia. Rakyat Malaysia sayang dia. Ini bukan duit saya tetapi milik rakyat Malaysia,” kata Aliff menerusi siaran langsung tersebut.

Selain bantuan kewangan, Aliff turut menyatakan kesediaan untuk menawarkan pekerjaan kepada Azar di syarikatnya, sama ada sebagai kerani atau pembungkus barang dengan anggaran gaji sekitar RM2,000 sebulan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang menunjukkan keprihatinan dengan menyokong jualan produknya.
“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin. Kali ini kalian membeli sambil beramal.
“Selepas ini Insya-Allah, saya akan bantu pelakon Norish Karman yang katanya sedang sakit,” ujar Aliff lagi.
Sementara itu, Azar atau nama penuhnya Siti Azar Ameerah Azmi, 35, mengakui terkejut dengan jumlah wang yang diterimanya hasil jualan Aliff menerusi siaran langsung di TikTok.
BACA JUGA:
Pelakon wanita, suami disiasat kes penipuan lot tanah tidak wujud RM1.5 juta
Menurutnya, bantuan tersebut akan digunakan untuk membeli keperluan harian anak-anak.
“Saya segan dan tak tahu nak cakap apa dan tidak tahu sudah berapa lama tiada duit.
“Saya terima apa sahaja tawaran kerja yang datuk berikan. Jumlah duit hari ini sebenarnya terlalu banyak.
“Sejujurnya saya terhutang budi dan semua yang datuk lakukan melebihi dari yang sepatutnya,” katanya.
Azar turut memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai akaun bank mahupun akaun media sosial susulan kes dakwaan penipuan yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini.
Terdahulu, nama pelakon drama Nur 2 itu menjadi perhatian apabila beliau dan suaminya, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, direman serta didakwa di mahkamah atas kes penipuan.
Bagaimanapun, Azar telah dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan bagi kedua-dua kes tersebut.
Dalam prosiding pada Mac lalu, suaminya mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam dan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran dalam talian berjumlah RM270,811 ke akaun bank milik seorang penama wanita berusia 35 tahun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






