Pelakon wanita, suami disiasat kes penipuan lot tanah tidak wujud RM1.5 juta
SEREMBAN – Polis menerima satu laporan berhubung dakwaan penipuan membabitkan seorang pelakon wanita dan suaminya berkaitan urusan penjualan lot tanah kurniaan negeri Selangor yang didakwa tidak wujud, membabitkan kerugian RM1.5 juta.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asistan Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, laporan itu dibuat oleh seorang lelaki berusia 56 tahun, 7 Januari lalu di daerah ini.
Menurut beliau, setakat ini polis daerah Seremban tidak menerima sebarang laporan berkaitan kes penipuan produk kosmetik membabitkan pelakon berkenaan.
“Bagaimanapun, penama yang sama bersama suami adalah suspek dalam satu kes yang disiasat di Seremban berhubung urusan penjualan tanah kurniaan negeri Selangor yang tidak wujud, membabitkan kerugian RM1.5 juta,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan beberapa tindakan awal telah diambil termasuk usaha mengesan kedua-dua suspek yang dipercayai tidak berada di Semenanjung Malaysia ketika ini.
“Maklumat setakat ini mendapati kedua-dua suspek berada di Sarawak. Mereka telah didaftarkan sebagai orang dikehendaki dan dimasukkan dalam Senarai Pemantauan Khas Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan kesan dan tangkap,” katanya memetik laporan Metro Online.
Sebelum ini, media melaporkan seorang usahawan produk kecantikan mendakwa menjadi mangsa penipuan pelakon wanita terbabit bersama suaminya dengan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.
Pendedahan itu dibuat menerusi hantaran di aplikasi Thread oleh individu menggunakan nama akaun kakbeyna_official yang mendakwa mengalami kerugian RM300,000.
Beliau juga mendakwa terdapat mangsa lain mengalami kerugian lebih besar sehingga mencecah jutaan ringgit.
Susulan pendedahan itu, beberapa nama pelakon wanita yang dikatakan sudah lama menyepi daripada industri seni mula diperkatakan dalam kalangan pengguna media sosial.
Difahamkan, beberapa laporan polis turut dibuat oleh mangsa lain, selain perkongsian tangkap layar mesej serta salinan kad pengenalan individu yang didakwa terlibat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








