Isu rumah ibadat perlu ditangani secara berhemah, berlandaskan undang-undang
KUALA LUMPUR – Isu berkaitan rumah ibadat yang melibatkan sensitiviti agama dan keharmonian masyarakat perlu ditangani secara berhemah, rasional dan berpaksikan undang-undang.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan bahawa pengurusan dan tadbir urus rumah ibadat di Malaysia dilaksanakan berlandaskan kerangka perundangan sedia ada, selari dengan Perlembagaan Persekutuan, prinsip kedaulatan undang-undang serta semangat Malaysia MADANI.
“Sebarang isu berkaitan rumah ibadat perlu ditangani secara berhemah, berfakta dan berlandaskan undang-undang tanpa mengheret sentimen perkauman atau keagamaan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, urusan pembinaan, pengubahsuaian dan pematuhan rumah ibadat adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui beberapa peruntukan undang-undang utama.
Antaranya ialah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengawal selia struktur bangunan, aspek kebersihan serta memastikan tiada pembinaan rumah ibadat dilakukan tanpa kebenaran di kawasan pentadbiran masing-masing.
BACA JUGA:
Rumah ibadat dibina secara haram tidak wajar dipertahankan – Mufti Perlis
LIMAS setuju roboh rumah ibadat dibina atas tanah kubur Islam di PJS 14 – MBPJ
Selain itu, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) digunakan bagi mengawal aspek teknikal pembinaan serta keselamatan struktur bangunan rumah ibadat demi menjamin keselamatan awam.
Manakala, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang dilaksanakan melalui PLANMalaysia pula berfungsi dalam perancangan pengezonan serta penetapan tapak khusus rumah ibadat menerusi Rancangan Tempatan.
“Kementerian Perpaduan Negara (KPN) kekal komited untuk berperanan sebagai pemudah cara dalam memperkukuh kefahaman, dialog serta keharmonian antara penganut agama, sambil menghormati bidang kuasa agensi berkaitan dan keputusan pihak berkuasa yang dibuat menurut undang-undang,” ujar beliau.
Dalam masa sama, semua pihak diseru agar menghormati proses perundangan yang sedang berjalan, mengelakkan spekulasi serta mengekalkan semangat saling menghormati demi memelihara perpaduan nasional dan kestabilan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








