PAS berisiko hilang 37 kerusi Parlimen ‘kelakar’ – MB Terengganu
KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa PAS berisiko kehilangan 37 kerusi Parlimen sekiranya Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerajui Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai kelakar dan tidak berasas.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, beliau tidak melihat kenyataan dikeluarkan Ketua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad itu sebagai sesuatu yang wajar diberi perhatian.
“Biar dia gorenglah setakat mana dia nak goreng… dia itu kelakarlah.
“Tidak berbaloi walau sesen pun untuk berkata apa-apa kepadanya. Biarkan dia,” memetik laporan BH online.
Sebelum itu, Zaharudin dilaporkan mendakwa PAS berisiko kehilangan 37 kerusi Parlimen sekiranya Ahmad Samsuri mengambil alih kepimpinan PN, dengan kesimpulan itu dikatakan dibuat berdasarkan data dalaman parti yang bagaimanapun tidak didedahkan.
Menantu kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap desakan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin digantikan dengan Ahmad Samsuri, sambil memberi amaran langkah sedemikian boleh memberi kesan buruk kepada parti dan negara.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan dinafikan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menegaskan ia hanyalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian parti.
Menurut beliau, prestasi PAS di bawah kepimpinan Ahmad Samsuri di Terengganu membuktikan sebaliknya, dengan parti itu mencatatkan keputusan cemerlang apabila memenangi semua kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di negeri berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








