Kelantan tetapkan had umur pendulang emas
KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan akan menetapkan had umur bagi individu yang layak memohon lesen mendulang emas dalam masa terdekat, susulan peningkatan penyertaan masyarakat termasuk pelajar sekolah dalam aktiviti berkenaan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, keputusan rasmi mengenai had umur itu sedang dimuktamadkan dan bakal diumumkan tidak lama lagi.
“Setakat ini, negeri belum memutuskan umur pemohon.
Perkara ini akan diputuskan dalam masa terdekat dan rakyat boleh memohon lesen mendulang emas melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mulai bulan depan.
“Pendulang emas juga perlu mematuhi syarat keselamatan yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang risiko,” memetik BuletinTV3.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika menjalankan aktiviti mendulang, terutama golongan remaja.
“Kita menasihatkan remaja yang masih bersekolah agar tidak terlibat dalam kerja mendulang emas.
“Mereka perlu memberi keutamaan kepada pelajaran, selain menjaga keselamatan,” katanya lagi.
Kelantan sebelum itu mengumumkan bahawa lesen mendulang emas di tanah kerajaan hanya dibuka kepada rakyat negeri itu dengan bayaran RM100 setahun.
Aktiviti mendulang hanya dibenarkan menggunakan kaedah tradisional tanpa sebarang mesin serta perlu dijalankan di kawasan yang diwartakan sebagai tanah kerajaan.
Empat daerah dikenal pasti sebagai lokasi mendulang emas, iaitu Tanah Merah, Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai.
Susulan pengumuman tersebut, aktiviti mendulang turut menarik minat pelajar sekolah untuk menambah pendapatan, sekali gus mendorong kerajaan negeri menetapkan garis panduan lebih jelas termasuk had umur bagi memastikan keselamatan golongan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








