BERITA SEMASADALAM NEGERI

Banjir: Lebih 10,000 dipindahkan di Semenanjung, Kelantan paling terjejas

KOTA BHARU – Situasi banjir di Semenanjung Malaysia terus memburuk apabila jumlah keseluruhan mangsa meningkat kepada 10,469 orang setakat pukul 8.45 pagi ini, berbanding hampir 9,000orang, malam tadi.

Kelantan kekal negeri paling teruk terjejas dengan 8,248 hingga 8,235 mangsa direkodkan dalam laporan terkini, merangkumi lebih 3,000 keluarga yang ditempatkan di 33 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah utama iaitu Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tumpat mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan lebih 4,300 orang, diikuti Kota Bharu (lebih 2,200 mangsa), Bachok (1,487 mangsa) dan Pasir Puteh (125 mangsa).

Keadaan banjir di negeri lain turut menunjukkan peningkatan:

Perak – Seramai 946 mangsa dipindahkan ke 16 PPS di Manjung, Perak Tengah, Larut-Matang-Selama dan Batang Padang.
Kedah – 342 orang ditempatkan di PPS sekitar Kulim.
Perlis – 310 mangsa direkodkan di Padang Besar dan Kangar susulan limpahan air sungai dan hujan berterusan.
Pulau Pinang – 242 penduduk dipindahkan di Seberang Perai.

Di Kelantan, beberapa sungai utama berada pada paras bahaya, menyebabkan banyak kawasan kediaman, sawah padi dan laluan utama dinaiki air.

Penduduk turut berdepan gangguan pergerakan apabila laluan keluar masuk ke beberapa kampung terputus akibat banjir dan tanah runtuh.

Agensi-agensi penyelamat termasuk polis, JBPM dan APM terus digerakkan bagi membantu proses pemindahan serta menyalurkan bantuan keperluan asas kepada mangsa di PPS.

Jumlah mangsa dijangka berubah dari semasa ke semasa berikutan cuaca yang masih tidak menentu di bawah pengaruh monsun timur laut.

Sementara itu Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) mengeluarkan amaran hujan dijangka berterusan pada tahap bahaya, buruk dan waspada sehingga 25 November 2025.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button