
Harimau Malaya di ambang kepupusan, projek perlombongan dipersoal
KUALA LUMPUR – Nasib harimau Malaya semakin terancam apabila kawasan habitat spesies ikonik itu di Gua Musang, Kelantan, bakal terjejas akibat cadangan projek perlombongan emas seluas kira-kira 145 padang bola sepak.
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, mempersoalkan sama ada Malaysia bersedia mengorbankan spesies berkenaan demi keuntungan ekonomi jangka pendek, sedangkan populasi harimau Malaya kini dianggarkan kurang daripada 150 ekor di habitat liar.
“Adakah kita benar-benar komited untuk memelihara biodiversiti unik yang mendefinisikan Malaysia? Harimau Malaya bukan sekadar haiwan liar, tetapi simbol warisan dan identiti negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, perlombongan di kawasan sensitif seperti Gua Musang bukan sahaja memberi ancaman besar kepada harimau Malaya, tetapi juga ekosistem sekitarnya yang menjadi habitat pelbagai spesies lain.
Syerleena turut merujuk kepada kesan kemusnahan ekologi akibat lombong Grasberg di Papua, Indonesia, di mana kira-kira 200,000 tan sisa perlombongan dibuang setiap hari, menyebabkan pencemaran sungai dan kemusnahan hutan secara besar-besaran.
“Persoalannya, bolehkah kita memastikan Malaysia tidak menerima nasib yang sama?” katanya lagi.
Beliau berkata, Malaysia kini berdepan detik penentuan sama ada mahu mengutamakan pemuliharaan alam sekitar atau tunduk kepada eksploitasi ekonomi yang boleh membawa kesan jangka panjang kepada biodiversiti negara.
“Kita sering berbicara tentang keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan, tetapi apakah kita benar-benar berani mempertahankannya ketika ia benar-benar terancam?”
Syerleena menggesa kerajaan untuk mengambil pendekatan lebih mampan, termasuk menilai semula projek perlombongan di kawasan ekosistem kritikal serta menguatkuasakan perlindungan alam sekitar yang lebih ketat.
“Harimau Malaya bukan sekadar haiwan – ia adalah identiti kita, semangat kita, legasi kita.
“Kita boleh menjadi generasi yang membiarkan ikon kebangsaan kita lenyap, atau generasi yang berjuang untuk melindunginya,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








