
Tiga pemain warisan bakal perkuat Harimau Malaya, tiba menjelang aksi menentang Cape Verde
KUALA LUMPUR – Tiga pemain warisan dilaporkan sedang dalam perjalanan ke ibu negara bagi menyertai skuad Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan tertutup menentang Cape Verde yang dijadual berlangsung esok di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dua daripada pemain terbabit ialah penyerang kelab Colombia, America de Cali, Rodrigo Holgado dan pertahanan Sabah FC yang beraksi di Liga Premier Azerbaijan, Jon Irazabal.
Kedua-duanya sebelum ini disebut-sebut sebagai calon pemain naturalisasi.
Turut dilaporkan dalam perjalanan ialah penyerang milik Olympiacos, Jefte Betancor yang kini dipinjamkan ke Panserraikos di Liga Super Greece.
Perkembangan itu dikongsikan oleh laman penyokong America de Cali, America Store Colombia yang melaporkan Holgado sudah dalam penerbangan ke Malaysia.
Sementara itu, Irazabal turut memuat naik gambar berada di Doha, Qatar yang dipercayai sebagai lokasi transit sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.
Dalam masa sama, Betancor juga berkongsi gambar pasport Malaysia miliknya bersama tiket penerbangan di sebuah lapangan terbang sekali gus memberi bayangan jelas mengenai kehadirannya.
Ketiga-tiga pemain itu dijangka melapor diri ke kem latihan Harimau Malaya esok dan sekiranya kehadiran mereka disahkan, ia bakal menjadi suntikan penting kepada skuad kebangsaan menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam pada 10 Jun ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








