Kes buli: 5 pelajar MRSM direman
KUALA TERENGGANU – Lima pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Besut direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes buli seorang pelajar tingkatan dua sekolah berkenaan.
Perintah reman terhadap kesemua pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 17 tahun itu bermula hari ini dan dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Yuhanis Mohd Roslan, lapor HM Online.
Suspek terdiri daripada empat pelajar tingkatan tiga dan seorang tingkatan lima itu ditahan reman sehingga Ahad bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Laporan media sebelum ini menyebut, polis menerima laporan berhubung kejadian buli membabitkan seorang pelajar tingkatan dua pada pukul 6.48 petang Rabu lepas.
Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad@Abu, siasatan mendapati mangsa yang berusia 14 tahun mendakwa diarahkan membuat kedudukan separa mencangkung sambil diletakkan selipar di atas kepala selama kira-kira 40 minit.
“Mangsa turut mendakwa ditumbuk di bahagian perut serta ditampar oleh beberapa pelajar tingkatan tiga ketika berada di asrama putera maktab berkenaan sekitar pukul 11.30 malam pada Selasa lalu.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di perut, rusuk dan belakang badan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







