Akibat cemburu, wanita maut ditikam suami
KOTA KINABALU – Seorang wanita maut selepas ditikam beberapa kali oleh suaminya dipercayai akibat cemburu dalam satu kejadian di sebuah gerai sayur di Jalan Pahlawan, Kepayan, petang semalam.
Mangsa berusia 38 tahun itu dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I menggunakan ambulans, namun disahkan meninggal dunia pada jam 2.21 petang.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Kalsom Idris, mangsa didatangi suspek semasa dia membantu kakaknya menjual sayur di kawasan tersebut.
“Suspek bertindak menikam beberapa kali di bahagian belakang mangsa sebelum bertindak melarikan diri.
“Mangsa yang parah kemudian dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk tindakan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada jam 2.21 petang,” katanya memetik laporan Awani.
Bertindak atas laporan, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu memburu suspek dan berjaya menangkapnya pada jam 8.30 malam di Jalan Kepayan.
“Polis berjaya menyelesaikan kes ini tidak sampai 24 jam dan motif kejadian dipercayai akibat cemburu.
“Turut dirampas sebilah pisau di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan ketika kejadian oleh suspek,” kata Kalsom.
Suspek direman bagi membantu siasatan selain berdepan tuduhan membunuh dengan niat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori sekiranya sabit kesalahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






