MAHA 2026: KADA guna simulasi AI tarik minat generasi muda ceburi agromakanan
SERDANG – Pengunjung MAHA 2026 berpeluang “merasai” pengalaman menjadi pesawah secara maya menerusi permainan interaktif berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang diperkenalkan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
Dikenali sebagai Simulasi Pertanian, permainan itu memberi peluang khususnya kepada golongan muda dan masyarakat bandar untuk memahami keseluruhan proses penanaman padi, daripada penyediaan tanah sehingga ke peringkat tuaian.
Menerusi simulasi berkenaan, pemain perlu mengurus pelbagai peringkat pengurusan sawah termasuk pembajakan, penaburan benih, pembajaan dan penjagaan tanaman sebelum hasil dituai.
Menariknya, hasil tuaian yang diperoleh bergantung kepada kaedah pengurusan serta penjagaan tanaman yang dipilih sepanjang permainan.
Pendekatan itu bukan sahaja menjadikan pengalaman berkaitan pertanian lebih interaktif, malah memberikan gambaran mengenai cabaran sebenar yang perlu dihadapi pesawah bagi memastikan hasil tanaman berada pada tahap optimum.
Pengurus Besar KADA, Mohd Faizul Mustafa, berkata idea itu diketengahkan bagi membolehkan masyarakat bandar merasai pengalaman mengurus tanaman padi menerusi simulasi yang disediakan di reruai KADA.
Menurut beliau, permainan berkenaan turut menjadi usaha KADA mendekati generasi muda menerusi pendekatan teknologi yang lebih dekat dengan kehidupan mereka.
Permainan video itu turut mengetengahkan keseluruhan rantaian penanaman padi, berbanding pendekatan terdahulu yang hanya memberi tumpuan kepada proses penuaian.
Di samping itu, pendekatan berkenaan turut memberi galakan dan memupuk minat generasi masa kini terhadap teknologi penanaman padi yang mampu membuka peluang pekerjaan yang baik.

Dalam perkembangan berkaitan, KADA akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan pengeluaran padi sebagai sebahagian usaha menyokong agenda keterjaminan makanan negara serta mengurangkan kebergantungan terhadap import beras.
Sementara itu, Faizul berkata, perkembangan teknologi digital dalam sektor pertanian turut diberi perhatian apabila KADA mengetengahkan penggunaan teknologi Internet of Things (IoT) sebagai antara pendekatan ke arah pengurusan sawah yang lebih moden.
Katanya, Sistem Pengurusan Air KADA secara berpusat turut digunakan sebagai pendekatan ke arah pengurusan sawah lebih pintar yang berteraskan teknologi terkini.
Teknologi IoT membolehkan pelbagai maklumat berkaitan keadaan sawah dikumpul dan dipantau secara lebih sistematik menerusi penggunaan sensor serta sistem yang saling berhubung.
“Teknologi IoT itu penting khususnya dalam penanaman padi kerana pengurusan air, keadaan persekitaran dan pertumbuhan tanaman perlu dipantau secara berterusan bagi memastikan tanaman berada pada keadaan optimum.
Dengan penggunaan teknologi pintar, data yang dikumpulkan boleh membantu pesawah dan pihak berkaitan dengan pengurusan air yang lebih cekap dan tepat, selain membolehkan tindakan diambil dengan lebih pantas sekiranya berlaku perubahan kepada sawah” ujarnya.
Teknologi berkenaan juga berpotensi membantu mengoptimumkan penggunaan sumber seperti air dan mengurangkan pembaziran, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi pertanian.
Usaha KADA memperkenalkan pendekatan berasaskan teknologi itu selari dengan keperluan sektor pertanian masa kini yang semakin bergantung kepada automasi, data dan teknologi digital bagi meningkatkan produktiviti.
“Penggunaan IoT memperlihatkan bagaimana teknologi boleh memainkan peranan penting dalam memodenkan sektor pertanian serta menarik minat generasi muda untuk menceburi bidang agromakanan yang mempunyai peluang dan potensi besar.
“Bagi KADA, penerapan teknologi digital bukan sekadar soal penggunaan peralatan moden, sebaliknya menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh produktiviti pesawah dan meningkatkan kecekapan pengurusan tanaman” jelasnya lagi.
Tambahnya lagi, pertumbuhan positif dicatatkan sehingga lebih 35 peratus pada tahun 2025 dan peningkatan lebih tinggi disasarkan pada tahun ini.
Dengan teknologi IoT, hasil padi meningkat sehingga 7 tan sehektar pada masa ini.
MAHA 2026 berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang sehingga 6 September ini. Orang ramai dijemput hadir ke reruai KADA di Laman Agro Interaktif, Hall C MAEPS.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








