Cadangan dakwa mangsa rogol statutori dikecam
CYBERJAYA – Cadangan supaya gadis bawah umur yang terlibat dalam kes rogol statutori turut didakwa menunjukkan salah faham serius terhadap undang-undang jenayah seksual.
Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah berkata, menurut kanun keseksaan, hubungan seksual dengan gadis bawah umur 16 tahun tetap dikira sebagai rogol, walaupun dengan ‘persetujuan’ mangsa.
Menurutnya, undang-undang itu wujud kerana kanak-kanak tidak mempunyai kapasiti sah untuk memberi persetujuan.
“Ia berasaskan hakikat bahawa mereka (gadis bawah umur) belum matang dari segi psikologi, kognitif dan pengalaman sosial.
“Tujuannya (undang-undang ini) bukan menilai kerelaan semata-mata, tetapi menghalang eksploitasi oleh orang dewasa melalui kuasa, usia atau manipulasi emosi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat yang sebelum itu dilaporkan memberi cadangan perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.
Yusoff dipetik sebagai berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana berdasarkan siasatan, hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di negeri itu adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.
Puah berkata, gadis bawah umur yang dijadikan sebagai tertuduh akan menghantar mesej bahawa jika mangsa tidak melawan atau terpedaya dengan janji lelaki dewasa, mereka juga bersalah.
“Ini akan menambah stigma, menakutkan mangsa untuk tampil ke hadapan, dan menutup pintu keadilan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








