BERITA SEMASA

Zahid tiada kaitan usaha jatuhkan Tuanku Muhriz – MB Negeri Sembilan

SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menafikan dakwaan mengenai penglibatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Ismail berkata, beliau turut menafikan laporan The Straits Times bertarikh 8 September 2026 yang mendakwa wujud usaha berkenaan.

Ismail berkata, beliau sentiasa menyokong Presiden UMNO serta seluruh barisan kepimpinan parti yang menurutnya sentiasa menjunjung, mempertahankan dan memelihara keluhuran institusi Raja-Raja Melayu serta prinsip Raja Berperlembagaan.

“Saya ingin menafikan dakwaan penglibatan Presiden UMNO dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau berharap isu yang melibatkan adat di Negeri Sembilan dapat diselesaikan dengan baik, penuh hikmah dan mengikut lunas undang-undang.

Katanya, pendekatan itu penting bagi menjamin kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.

“Saya berharap isu yang melibatkan adat di Negeri Sembilan ini dapat diselesaikan dengan baik, penuh hikmah dan mengikut lunas undang-undang demi menjamin kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button