25 rakyat Malaysia ditahan Israel, 42 kapal misi kemanusiaan ke Gaza dipintas
SEPANG – Seramai 25 rakyat Malaysia dilaporkan ditahan tentera Israel selepas 42 kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dipintas ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Gaza hari ini.
Pusat Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Malaysia menerima laporan visual mengesahkan semua aktivis telah diculik dari kapal masing-masing secara paksa ke empat kapal tentera pihak rejim sehingga pukul 3 petang hari ini.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, penahanan terbaharu sembilan lagi rakyat Malaysia itu menjadikan jumlah keseluruhan rakyat negara ini yang ditahan kini berjumlah 25 orang.
“SNCC masih belum menerima pengesahan mengenai status kesemua aktivis yang ditahan, termasuk lokasi dan destinasi pemindahan mereka selepas insiden pintasan berlaku,” katanya pada sidang media hari ini.
“Laporan terkini mengesahkan identiti aktivis yang diculik ialah Razman Mat Ali dari Kapal Azur, Nur Liana Farhan Daud dari Kapal Amazon, Al Ahmad Shah Abdul Kadir dari Kapal Iridescence, serta Abdul Rahim Abdul Razak dan Eddy Noor Mad Amin dari Kapal Marilyn.
“Mohd Hanafi Mohd Salim dan Mohd Redzal Hamzah dari Kapal Bolarize, serta Jihan Alya Mohd Nordin dan Norhelmi Abdul Ghani dari Kapal Ozgurlu,” katanya.
Sani turut mengesahkan empat rakyat Malaysia masih selamat dan dapat dihubungi dan terus berlayar ke Gaza.
“Empat rakyat Malaysia yang disahkan masih selamat dan meneruskan pelayaran ialah Saudara Hareez dan Chin dari Kapal Alcyone, Syed Amirul dari Kapal Don Juan, serta Noor Thanisah dari Kapal Zefiro,” ujarnya.
Sani juga mengesahkan sebanyak 10 buah kapal Global Sumud Flotilla kini sedang berada di Zon Merah dua kira-kira 100 batu nautika dari pantai Gaza dan masih berlayar menuju ke Gaza iaitu Alcyone, Andros, Cabo Blanco, Don Juan, Elengi, Girolama, Kasr-i-Sadabad, Lina, Sirius dan Zefiro.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sedang berhubung dan bekerjasama rapat dengan para pemimpin negara eropah termasuk Turkiye dan Sepanyol bagi memastikan semua aktivis yang ditahan rejim Zionis dibebaskan segera melalui usaha diplomatik bersepadu.
Sani juga memaklumkan, isu ini kini berada di fasa kritikal selepas 49 ahli parlimen Kesatuan Eropah (EU) tampil mendesak tindakan drastik diambil dengan segera.
“Tekanan antarabangsa turut memuncak apabila lebih 50,000 petisyen bantahan telah dihantar kepada menteri luar negara masing-masing bagi menuntut pembebasan segera kesemua aktivis yang ditahan,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















