
Kerajaan salur RM3 juta kepada PBSM
Satu penghargaan terhadap kerja-kerja sukarelawan dan bantuan
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) bagi rangsangan dan galakan kepada persatuan itu dalam kerja-kerja sukarelawan dan bantuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sentiasa menghargai peranan sukarelawan di negara ini yang sanggup merisikokan diri sendiri dalam usaha menyampaikan bantuan dan kebajikan, sama ada di dalam mahupun luar negara.
“Kemanusiaan itu bererti kita ada ihsan dan kasih sayang. Nilai kemanusiaan itu apabila kita bertimbang rasa, ada kasih dan sayang, mereka akan bantu yang menghadapi masalah dan ini satu hal yang dikembangkan Bulan Sabit Merah.
“Selama 75 tahun dalam sejarah Bulan Sabit Merah ini iaitu hampir umur saya dan dengan pengalaman mereka bukan baru, di media dipaparkan setiap kali malapetaka, bencana dan perang saudara, kehadiran wakil mereka ada (terdapat yang) menyabung nyawa dan menghadapi risiko termasuk ada yang cedera,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-75 dan Perasmian Ibu pejabat Kebangsaan BSMM di sini hari ini.
Turut berangkat pada majlis itu ialah Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah iaitu Pengerusi Kebangsaan BSMM.
Anwar kemudiannya menambah, semangat yang ada dalam sukarelawan itu juga selaras dengan gagasan MADANI iaitu ihsan yang mementingkan sifat kemanusiaan sejagat tanpa mengira perkauman sempit.
Berkenaan peruntukan yang diterima PBSM, RM1 juta akan disalurkan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan RM1 juta lagi menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) khusus bagi kerja-kerja kebajikan dan lapangan sama ada di dalam mahupun luar negara.
“Manakala RM1 juta lagi kita setuju berikan untuk memperkukuh, memastikan penyelenggaraan, pengurusan ibu pejabat (Bulan Sabit Merah) di negeri-negeri supaya lebih mantap,” kata Anwar lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








