BERITA SEMASAPMX

Kerajaan awalkan bayaran STR Fasa Dua mulai esok, umum beberapa bantuan sempena persiapan Aidilfitri

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan beberapa langkah segera bagi meringankan beban rakyat menjelang Aidilfitri termasuk mempercepatkan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Dua 2026 kepada jutaan penerima di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bayaran STR tersebut diawalkan kepada 10 Mac ini (esok) melibatkan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion yang akan memanfaatkan kira-kira 5.2 juta penerima.

Beliau berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI bagi membantu rakyat membuat persiapan menyambut Aidilfitri dengan lebih tenang.

“Kerajaan turut menyalurkan Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam, pesara dan veteran selain lebih 70,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut serta guru KAFA dan takmir di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, hari ini.

Bayaran itu melibatkan RM500 untuk penjawat awam Gred 15 dan ke bawah termasuk kontrak; RM500 untuk imam, bilal, tok siak, guru KAFA dan Takmir serta RM250 bagi pesara dan veteran.

Dalam masa sama, beliau turut mengumumkan peluasan subsidi tiket penerbangan FLYsiswa bagi membantu lebih 50,000 mahasiswa pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.

Menurutnya, kerajaan juga akan terus memperkukuh langkah mengawal harga barangan keperluan melalui pelbagai inisiatif termasuk penganjuran Program Jualan Rahmah MADANI di seluruh negara.

“Pada tahun 2025, sebanyak 25,708 Program Jualan Rahmah MADANI telah dilaksanakan dengan lebih 27 juta transaksi pembelian direkodkan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan sedaya upaya memastikan harga petrol RON95 kekal pada paras RM1.99 seliter bagi mengelakkan rakyat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.

“Semoga ikhtiar ini sedikit sebanyak membantu rakyat dalam membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih tenang dan gembira bersama keluarga serta insan tercinta,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button