BERITA SEMASA

Hantaran palsu mengenai PM: MCMC rakam percakapan Dr Zamri Mantop

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam percakapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin atau lebih dikenali sebagai Dr Zamri Mantop berhubung satu hantaran palsu mengenai Perdana Menteri di Facebook.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan, ia susulan aduan yang diterima daripada orang ramai berhubung akaun-akaun media sosial di platform Facebook yang didapati menyebarkan hantaran palsu tersebut.

“Hasil siasatan mendapati, kebanyakan akaun terbabit merupakan akaun palsu. Namun, pihak MCMC telah mengenal pasti bahawa salah satu daripada akaun yang diadukan adalah akaun milik ADUN Sungai Burong, Selangor.

“Susulan itu, MCMC telah merakam percakapan ADUN berkenaan pada Selasa lalu bagi membantu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MCMC merakam percakapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin

Katanya, dalam pemeriksaan yang dijalankan bersama PDRM, satu unit telefon pintar dan satu unit kad sim telah diminta untuk diserahkan sebagai bahan bukti kes bagi membantu siasatan.

Ujarnya, analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti itu untuk siasatan lanjut.

 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

” MCMC memohon orang ramai untuk berhati-hati apabila memuat naik sebarang hantaran di media sosial dan memastikan maklumat yang disebarkan adalah benar dan sahih.

” Langkah ini bagi menjamin persekitaran dalam talian yang berintegriti dan selamat demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button