PM bakal umum tugas baharu Tengku Zafrul esok
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mendedahkan peranan baharu yang akan disandang Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz esok, selepas tamat tempoh lantikan senatornya.
Menurut Anwar, Zafrul masih perlu menyelesaikan beberapa urusan kementerian sebelum beralih kepada tanggungjawab seterusnya.
“Beliau tidak boleh tinggalkan tugas serta-merta. Hari terakhirnya adalah 2 Disember dan selepas itu beliau tetap akan meneruskan kerja. Peranan baharunya saya umumkan pada 3 Disember,” katanya selepas melancarkan kenderaan elektrik pertama Perodua di sini.
Mengulas kemungkinan rombakan Kabinet, Anwar berkata hanya kekosongan tertentu akan diisi, manakala rombakan menyeluruh tidak berada dalam perancangannya.
“Saya sudah tetapkan langkah yang perlu,” katanya ringkas.
Jumaat lalu, jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil mengesahkan bahawa Zafrul akan terus berkhidmat dalam kerajaan walaupun penggal kedua lantikan senatormya telah berakhir.
Sebelum ini, Zafrul memaklumkan kesediaannya membantu penggantinya di MITI selepas tempoh senatornya tamat dan telah menyampaikan hasrat berkenaan kepada Perdana Menteri.
Zafrul dilantik sebagai senator pada Disember 2020 sebelum penggal keduanya diperbaharui tahun lalu. Tanpa jawatan senator atau kerusi Parlimen, beliau tidak boleh terus kekal dalam Kabinet kecuali menang dalam pilihan raya akan datang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








