AMRENCANA

BPRM SPRM pelihara kerahsiaan dan integriti maklumat

DALAM dunia yang semakin bergerak pantas dan bergantung kepada teknologi digital, satu maklumat yang bocor pada masa atau tempat yang salah boleh memberi kesan besar terhadap sesuatu siasatan, keselamatan individu dan kepentingan negara.

Bagi agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maklumat bukan sekadar data yang perlu disimpan malah setiap aduan, dokumen dan rekodnya mempunyai nilai serta tahap kerahsiaan tersendiri yang perlu diurus, dilindungi dan diproses mengikut prosedur ditetapkan.

Justeru, cabaran terhadap pengurusan maklumat ini semakin penting dan teknologi yang digunakan untuk melindungi data hari ini juga perlu sentiasa diperkukuh bagi berdepan ancaman yang lebih kompleks pada masa hadapan.

Di sebalik proses penguatkuasaan yang sering menjadi perhatian umum, terdapat satu fungsi penting yang jarang diketahui masyarakat, iaitu pengurusan rekod dan maklumat.

Tanggungjawab ini digalas oleh Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM) yang beroperasi di bawah Sektor Operasi SPRM.

Bahagian ini memainkan peranan penting dalam memastikan maklumat diterima dan dikendalikan oleh SPRM diurus secara sistematik, selamat dan terkawal. Ini bermula daripada aduan awal daripada masyarakat sehinggalah kepada dokumen dan maklumat yang mempunyai tahap klasifikasi keselamatan tertentu.

PERTAHANAN SIBER BERLAPIS
Dalam era digital, ancaman terhadap keselamatan maklumat tidak lagi datang dalam bentuk fizikal semata-mata. Serangan siber, percubaan mendapatkan akses tanpa kebenaran, kecurian data dan pelbagai bentuk ancaman digital merupakan cabaran yang sentiasa dihadapi.

Justeru, BPRM perlu memastikan segala maklumat ini dilindungi oleh ekosistem keselamatan yang komprehensif bagi melindungi pangkalan data dan maklumat Suruhanjaya daripada pelbagai bentuk ancaman.

Infrastruktur keselamatan tidak hanya bergantung kepada satu lapisan perlindungan. Sebaliknya, pendekatan pertahanan berlapis dilaksanakan melalui pelbagai mekanisme seperti Pengesahan Pelbagai Faktor (Multi-Factor Authentication – MFA), sistem keselamatan rangkaian seperti firewall, pemantauan sistem secara masa nyata (real-time monitoring), penyulitan data dan ujian tahap keselamatan sistem aplikasi secara berkala serta pengujian sebelum sesuatu sistem aplikasi diluluskan untuk digunakan.

Ketika ini, BPRM mengesan dan menangkis secara purata antara 80,000 hingga 90,000 percubaan serangan siber setiap hari. Angka ini memberikan gambaran jelas bahawa maklumat yang dikendalikan oleh SPRM mempunyai nilai tinggi dan sentiasa terdedah kepada pelbagai bentuk ancaman.

Kebocoran maklumat bukan sahaja boleh menjejaskan kerahsiaan sesuatu operasi, malah dalam keadaan tertentu berpotensi meninggalkan kesan kepada keselamatan saksi, memberi amaran kepada pihak yang sedang disiasat serta menjejaskan kepentingan penguatkuasaan.

Justeru, keselamatan maklumat bukan lagi isu teknikal semata-mata, sebaliknya merupakan sebahagian daripada benteng integriti sesebuah agensi penguatkuasaan.

MENYALUR, BUKAN MENULAR
Dalam usaha membanteras rasuah, keberanian masyarakat tampil menyalurkan maklumat amat dihargai.Tanpa maklumat daripada masyarakat, banyak salah laku, kegiatan rasuah atau penyelewengan mungkin sukar dikesan pada peringkat awal.

Namun, terdapat perbezaan besar antara menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dengan menularkan maklumat kepada khalayak umum menerusi media sosial.

Dalam era media sosial, seseorang mungkin beranggapan bahawa mendedahkan sesuatu isu secara terbuka merupakan cara paling pantas untuk mendapatkan perhatian. Namun, bagi kes yang masih memerlukan penelitian dan siasatan, pendedahan sedemikian boleh menimbulkan implikasi yang tidak dijangka.

Antaranya ialah tercetusnya spekulasi dan penghakiman awam sebelum sesuatu fakta disahkan. Individu yang ditohmah dan belum dibuktikan bersalah boleh menerima kecaman, manakala pihak yang berkaitan dengan siasatan mungkin menyedari bahawa mereka sedang diperhatikan.

Lebih membimbangkan, pendedahan sesuatu maklumat pramatang boleh memberi peluang kepada pihak tertentu mengambil tindakan untuk menghapuskan dokumen, mengubah jejak transaksi atau mempengaruhi pihak yang berkaitan.

Dalam sesetengah keadaan, saksi juga mungkin terdedah kepada tekanan atau pengaruh apabila butiran sesuatu isu telah tersebar secara meluas. Kesannya, proses pengumpulan bukti dan mendapatkan keterangan boleh menjadi lebih mencabar.

Oleh itu, mesej yang perlu difahami adalah mudah: jika mempunyai maklumat berkaitan rasuah atau salah laku, salurkan secara rasmi kepada pihak berkuasa dan bukan menularkannya di media sosial.

Masyarakat boleh menggunakan pelbagai platform saluran rasmi SPRM dengan merujuk kepada portal SPRM yang disediakan untuk mengemukakan aduan. Saluran rasmi membolehkan maklumat diterima dan dinilai melalui proses yang sewajarnya.

ADUAN KEPADA TINDAKAN
Tidak semua maklumat yang diterima boleh terus dianggap sebagai kesalahan rasuah kerana setiap maklumat perlu melalui proses saringan, penelitian dan penilaian berdasarkan fakta serta bidang kuasa.

Dalam proses pengurusan maklumat, aduan yang diterima melalui pelbagai saluran dimasukkan ke dalam Complaints Management System (CMS) untuk tujuan pengurusan dan saringan.

Seterusnya, maklumat berkenaan dibawa ke peringkat Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM) bagi penelitian dan penentuan tindakan yang bersesuaian.Secara asasnya, sesuatu maklumat boleh membawa kepada beberapa bentuk tindakan.

Pertama, tindakan operasi SPRM sekiranya terdapat asas yang kukuh dan perkara tersebut berada dalam bidang kuasa SPRM.

Kedua, rujukan kepada agensi lain sekiranya isu yang dibangkitkan tidak berada dalam bidang kuasa SPRM tetapi melibatkan kementerian, jabatan, pihak berkuasa tempatan atau agensi berkaitan.

Ketiga, Tiada Tindakan Lanjut (No Further Action – NFA) sekiranya maklumat yang diterima tidak mempunyai asas yang mencukupi, bersifat andaian semata-mata atau tidak menunjukkan unsur salah laku yang memerlukan tindakan lanjut.

Proses ini penting bagi memastikan setiap maklumat tidak dinilai berdasarkan persepsi semata-mata, sebaliknya berdasarkan fakta, bukti, bidang kuasa dan prosedur ditetapkan.

PEMBERI MAKLUMAT ATAU PENGADU
Satu lagi perkara yang sering menimbulkan kekeliruan ialah perbezaan antara pemberi maklumat (whistleblower) dan pengadu (complainant).

Pemberi maklumat secara umumnya merujuk kepada individu yang mendedahkan maklumat berkaitan salah laku atau kesalahan yang diketahuinya kepada pihak berkuasa, manakala pengadu ialah individu yang tampil membuat aduan atau memberikan maklumat berkaitan sesuatu kejadian atau perkara yang ingin disiasat.

Aspek perlindungan pula tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan syarat yang ditetapkan. Justeru, masyarakat tidak seharusnya membuat andaian bahawa setiap individu yang membuat aduan secara automatik menikmati bentuk perlindungan yang sama.

Bagi mereka yang membuat pendedahan berkaitan kelakuan tidak wajar kepada SPRM, perlindungan kepada pemberi maklumat adalah tertakluk kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711], termasuk syarat dan peruntukan yang ditetapkan di bawah akta tersebut.

Sehubungan itu, orang ramai disarankan menggunakan pelbagai platform saluran rasmi yang disediakan oleh SPRM bagi memastikan sesuatu pendedahan dapat dikendalikan mengikut peruntukan undang-undang serta tatacara yang sewajarnya.

Apa yang lebih penting ialah masyarakat memahami bahawa saluran rasmi diwujudkan bukan untuk menyusahkan pengadu, sebaliknya bagi memastikan maklumat dapat dikendalikan dengan lebih teratur, selamat dan bertanggungjawab.

Pengurusan rekod dan dokumen juga mempunyai kepentingan tersendiri dalam memastikan maklumat kerajaan dikendalikan mengikut klasifikasi dan tatacara yang ditetapkan. Latihan khusus berkaitan pengurusan rekod SPRM, misalnya, memberi penekanan kepada pengelasan dokumen, pelupusan rekod serta pematuhan terhadap perundangan dan prosedur berkaitan.

BERANI LAPOR RASUAH
Pada akhirnya, pembanterasan rasuah bukan hanya mengenai tangkapan, siasatan atau pendakwaan. Di sebalik setiap tindakan penguatkuasaan, terdapat rangkaian pengurusan maklumat yang perlu dilaksanakan dengan penuh ketelitian.

BPRM memainkan peranan penting dalam memastikan maklumat diterima tidak hilang, tidak disalahgunakan dan tidak terdedah kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Namun, sistem keselamatan yang kukuh sahaja tidak mencukupi. Keberkesanan usaha membanteras rasuah turut memerlukan kerjasama masyarakat. Masyarakat perlu berani melaporkan salah laku, tetapi pada masa yang sama perlu memahami bahawa cara maklumat disalurkan sama penting dengan maklumat itu sendiri.

Jangan biarkan maklumat yang sepatutnya menjadi pencetus kepada siasatan bertukar menjadi punca yang menjejaskan siasatan. Dalam perjuangan membanteras rasuah, setiap maklumat mempunyai nilai.

Apabila maklumat itu diurus dengan betul, ia bukan sahaja membantu membongkar salah laku, malah turut menjadi sebahagian daripada benteng yang mempertahankan integriti, keselamatan dan kepentingan negara.

ARTIKEL OLEH:

ZUHAIRIE ABU BAKAR

ZUHAIRIE ABU BAKAR

Penulis merupakan Pengarah Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat , Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button