Pemuda Pas Selangor kecam penahanan Ustaz Zaharudin awal pagi tadi
KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor mengecam sekeras-kerasnya penahanan aktivis Ustaz Zaharudin Muhammad di rumah beliau sekitar pukul 1.30 pagi tadi.
Difahamkan, penahanan beliau mempunyai kaitan dengan isu pengusiran ke atas penduduk Kampung Sungai Baru, baru-baru ini.
Pemuda Pas Selangor dalam satu kenyataan mendakwa, penahanan yang dibuat pada waktu tengah malam itu bukan sahaja mengejutkan, bahkan bermotifkan tekanan politik kerana aktivis berkenaan lantang menyuarakan kezaliman yang sedang menimpa masyarakat di kampung tersebut.
“Penahanan ini zalim dan tidak berperikemanusiaan. Menangkap seorang pendakwah pada tengah malam kerana bersuara membela rakyat adalah satu bentuk intimidasi yang tidak boleh diterima.
“Hak rakyat mempertahankan rumah dan tanah mereka adalah hak asasi. Undang-undang dan prinsip keadilan menuntut agar rakyat diberi ruang untuk membela diri, bukan ditekan dengan cara kekerasan,” kata kenyataan itu, hari ini.
Pemuda Pas Selangor mendakwa, apa yang berlaku di Kampung Sungai Baru, ditambah dengan penahanan aktivis rakyat, mendedahkan wajah sebenar sebuah kerajaan yang semakin menekan rakyat kecil dan tunduk kepada kepentingan pemaju dan golongan berkepentingan.
Sehubungan itu, Pemuda Pas Selangor menyeru seluruh rakyat, khususnya anak-anak muda, untuk bangkit mempertahankan hak sambil mendakwa penahanan itu bukan sekadar isu seorang individu, tetapi lambang penindasan terhadap suara rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















