Penduduk Kampung Sungai Baru bakal nikmati manfaat tambahan hasil komitmen pemaju – Dr Zaliha
KUALA LUMPUR – Penduduk Kampung Sungai Baru bakal menikmati pelbagai manfaat tambahan hasil komitmen pemaju bagi pembangunan semula kawasan berkenaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Menurut Dr. Zaliha, beberapa penambahbaikan telah dipersetujui pemaju bagi memastikan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru memberi pulangan yang lebih baik kepada penduduk.
Beliau menjelaskan, pemaju bersetuju melaksanakan empat komitmen utama termasuk pengecualian caj penyelenggaraan bagi tahun pertama selepas projek siap.
Selain itu, pemaju juga akan menanggung 70 peratus caj penyelenggaraan dan dana penampan bagi tahun kedua sehingga tahun ke-10, melibatkan nilai komitmen sehingga RM4 juta.
“Pemaju turut bersetuju menyediakan kelengkapan tambahan rumah seperti pendingin hawa, hud dan dapur masak bernilai keseluruhan RM2 juta, manakala RM15 juta lagi diperuntukkan untuk membina laluan penghubung terus dari Kampong Bharu ke Lebuhraya AKLEH,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Pecah Tanah Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru di ibu negara hari ini.
Beliau menambah, pemaju turut memaklumkan tambahan satu petak parkir percuma untuk setiap unit, sebagai memenuhi harapan penduduk.
Dalam pada itu, Dr. Zaliha mengakui projek berkenaan mewarisi pelbagai isu, sekali gus mendorong beliau mengambil pendekatan bertemu semua pihak sebaik dilantik menerajui Wilayah Persekutuan.
“Saya berjumpa dengan tiga kumpulan yang bersetuju sepenuhnya, yang menerima pembangunan tetapi mempertikaikan pampasan, dan yang tidak bersetuju langsung,” katanya.
Beliau berkata, selepas meneliti pendirian semua pihak, kerajaan mengambil keputusan meneruskan pembangunan semula Kampung Sungai Baru demi memastikan penyelesaian yang adil.
Bagaimanapun, jelasnya, kekesalan terbesar ialah hak penduduk yang bersetuju masih belum ditunaikan, termasuk sebahagian yang meninggal dunia sebelum sempat kembali mendiami rumah baharu mereka.
“Saya telah menegur pemaju supaya segera menyelesaikan isu yang berbangkit. Jika ada perkara yang perlukan penglibatan saya, maklumkan. Apa yang saya mahu, rumah anda semua mesti didirikan segera.
“Saya tidak kira siapa pemaju itu kerana pemilihan dibuat penduduk sendiri. Apa yang penting, rumah ganti mesti disiapkan dan hak penduduk dikembalikan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








