Dr Zaliha selar tindakan provokasi Rafidah Ibrahim
PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyelar tindakan aktivis, Rafidah Ibrahim yang mengajak masyarakat khususnya orang Melayu berdemonstrasi berhubung isu Kampung Sungai Baru.
Menurut beliau, Rafidah yang juga penduduk kampung berkenaan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tidak wajar sehingga menyamakan keadaan di negara ini dengan suasana seperti di Nepal dan Indonesia.
Tegas Dr Zaliha, setiap permasalahan boleh diselesaikan secara baik tanpa perlu menimbulkan suasana tegang yang boleh mengancam ketenteraman awam.
“Kenapa kita nak negara kita ini tidak aman? Kenapa kita tak boleh laksanakan atau pun selesaikan perkara ini dengan baik?
“Kita nak ajak pula orang-orang lain atau pun Melayu untuk keluar demonstrasi sehingga menyebabkan tidak aman. Bagi saya tidak wajar.
“Kenapa kita nak sehingga negara kita jadi macam itu? Kita ini bersusah payah nak memastikan keamanan negara kita tetapi masih ada juga pihak-pihak yang macam itu. Jadi kita kena tolaklah hal-hal yang macam ini,” katanya pada sidang media khas di Menara Seri Wilayah, di sini hari ini.
Menurut Dr Zaliha, beliau yakin ramai di antara rakyat negara ini yang mahu hidup dalam keadaan aman dan damai.
“Jadi saya memang tak bersetuju perkara-perkara seperti ini terus dijadikan isu dan ditunggang sehingga negara kita menjadi tidak aman,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kekecohan semasa operasi pengosongan kediaman penduduk di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur semalam yang tular selepas video ugutan terhadap kerajaan tersebar.
Antaranya rakaman memaparkan pihak berkuasa memecahkan pintu dan mengeluarkan barangan dari rumah Rafidah yang sebelum ini lantang mempertahankan keputusan untuk tidak mahu berpindah.
Sementara itu, kekecohan berkenaan turut mengakibatkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala selepas terkena balingan batu.
Susulan itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail memaklumkan tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan insiden tersebut, manakala Sulizmie menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








