Pembangunan Kg Sungai Baru: Johari tegaskan hak Melayu tidak boleh diketepikan
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan pembangunan semula Kampung Sungai Baru mesti mengutamakan kepentingan orang Melayu, sambil menempelak kerajaan terdahulu yang membiarkan pemaju mengusir penduduk dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah secara paksa.
Beliau menegaskan, sejarah penubuhan Kampung Baru perlu dihormati kerana ia merupakan tanah yang diwartakan khas untuk orang Melayu sejak ia diberikan oleh Sultan Selangor ketika zaman British.
“Pemaju jelas membelakangkan kepentingan Melayu dalam keghairahan mengaut keuntungan. Malah, mereka menggunakan Akta Pengambilan Tanah pada 2021 untuk memaksa penduduk keluar,” katanya memetik laporan video Buletin TV3 yang dikongsikan beliau hari ini.
Johari mengimbas kembali pengalamannya ketika menjadi wakil rakyat bagi penggal pertama pada 2013 hingga 2018, apabila tiada penduduk yang dipindahkan.
Namun selepas kerajaan bertukar tangan, penduduk mula berdepan pengusiran beramai-ramai di antara 2019 hingga 2021.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan keresahan kerana ada penduduk yang merasakan hak Melayu diketepikan, meskipun pampasan telah ditawarkan.

“Kini masih terdapat 14 buah rumah yang enggan berpindah kerana isu keadilan pampasan dan prinsip asal penubuhan Kampung Baru,” katanya.
Bagi mencari penyelesaian terbaik, Johari menegaskan bahawa hanya orang Melayu wajar dibenarkan membeli unit-unit pembangunan semula di kawasan tersebut.
“Saya akan cuba berjumpa Menteri Wilayah dan juga Perdana Menteri. Saya mahu pastikan kawasan ini, apabila dibangunkan semula, kekal milik Melayu. Kalau orang Melayu tak beli, pemaju kena tunggu sampai ada orang Melayu yang mampu beli,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau juga menekankan aspek kemampuan orang Melayu untuk memiliki kediaman perlu diberi perhatian, agar pembangunan semula itu tidak hanya tinggal pada nama.
“Kalau nak bagi pada orang Melayu, tetapi bina rumah dengan harga yang orang Melayu tak mampu beli, itu akan jadi masalah,” katanya lagi.
Johari menegaskan bahawa isu Kampung Baru tidak boleh dipandang sebagai sekadar projek pembangunan semata-mata, sebaliknya ia melibatkan maruah, sejarah dan hak orang Melayu yang wajib dipertahankan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








