‘Kami tidak mahu duit pemaju, kekalkan tanah warisan’ – Rafidah
KUALA LUMPUR – Sebahagian penduduk Kampung Sungai Baru tidak menuntut sebarang pampasan daripada pemaju, sebaliknya berhasrat agar tanah warisan di kawasan itu terus kekal untuk generasi akan datang.
Mewakili penduduk, Rafidah Ibrahim berkata, pelaksanaan operasi pengosongan melalui Akta Pengambilan Tanah 1960 menyebabkan mereka dipaksa menerima pampasan yang ditawarkan.
“Bukan duit pemaju yang kami nak sangat, itu tidak. Tolong jelaskan di sini kepada semua kerana duit pampasan bukan isu utama kepada Kampung Sungai Baru.
“Kami tidak mahu pampasan atau duit pemaju yang tidak seberapa. Apa yang kami mahu ialah tanah warisan ini dikekalkan untuk generasi seterusnya.
“Pampasan bukan isu utama bagi (penduduk) Kampung Sungai Baru,” kata aktivis itu pada sidang media hari ini, yang turut dihadiri wakil-wakil Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru.
@malaysiatribune Aktivis, Rafidah Ibrahim menegaskan bahawa mereka tidak mahu pampasan atau wang daripada pemaju, sebaliknya hanya mahu tanah warisan itu kekal turun-temurun untuk generasi mereka. Beliau mendakwa pemaju bersungguh-sungguh mahu memastikan penduduk diusir dan keluar dari kawasan berkenaan bagi tujuan pengambilalihan tanah. #malaysiatribune
Dalam pada itu, Rafidah turut berkongsi pengalamannya terhadap operasi pengosongan semalam, yang disifatkannya telah dilaksanakan secara rakus tanpa mengambil kira keselamatan penduduk.
Media sebelum ini melaporkan, projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru mendapat tentangan sebahagian penduduk walaupun majoriti sudah menerima tawaran pampasan dan berpindah keluar lebih awal.
Semalam, semasa operasi pengosongan dijalankan, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengalami kecederaan di kepala selepas berlaku kekecohan.
Walau bagaimanapun, Penasihat Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, Muzzafar Razman hari ini menegaskan, insiden berkenaan tidak melibatkan penduduk setempat.
Susulan kejadian itu, tiga lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam insiden tersebut.
Operasi pengosongan itu melibatkan writ milikan kosong terhadap 26 hak milik individu merangkumi 37 unit rumah teres di kawasan terbabit, dengan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi penguat kuasa.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, tindakan tersebut dilaksanakan selepas melalui prosedur perundangan yang ditetapkan, termasuk keputusan mahkamah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








