BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pemaju tanggung sewa rumah penduduk Kg Sungai Baru sehingga pembangunan siap

PUTRAJAYA – Sewa rumah penduduk Kampung Sungai Baru yang berpindah ke penempatan sementara ditanggung sepenuhnya oleh pemaju sehingga projek pembangunan semula di kawasan itu siap.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kebanyakan penduduk ditempatkan di Residensi Sungai Udang dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda dengan kos sewaan mereka ditanggung sepenuhnya.

“Mereka yang bersetuju berpindah dan tinggal di PPR atau residensi di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak perlu risau soal sewa kerana ia dibiayai oleh pemaju sehingga projek pembangunan semula selesai dan menerima rumah ganti,” katanya pada sidang media khas di Menara Seri Wilayah, di sini hari ini.

Dr Zaliha juga menegaskan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru tidak bertujuan mengeluarkan orang Melayu dari bandar atau melalui proses ‘gentrification’, sebaliknya membawa mereka kembali ke kawasan asal dengan kediaman lebih moden, selesa dan bermaruah.

“Penduduk bakal kembali ke kampung halaman dengan rumah yang lebih baik. Malah, nilai hartanah yang tinggi berpotensi menjadikan mereka jutawan dan itu seharusnya menjadi kebanggaan kita,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun kebajikan penduduk dijaga melalui penempatan sementara, terdapat sebahagian yang telah meninggal dunia sebelum sempat menikmati hasil pembangunan berkenaan.

Hal itu, katanya, menguatkan tekad kerajaan untuk mempercepatkan penyelesaian.

Dalam pada itu, Dr Zaliha mengecam budaya provokasi susulan tular video ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri berhubung isu Kampung Sungai Baru semalam.

“Laporan polis sudah dibuat. Budaya ugutan dan hasutan sebegini tidak wajar. Kita tidak mahu Malaysia menjadi huru-hara hanya kerana provokasi. Jika ada isu, bincanglah dengan baik,” tegasnya.

Semalam, media melaporkan berlaku kekecohan ketika proses notis pengosongan melibatkan 14 unit rumah teres penduduk di kawasan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button