450 murid sekolah menengah dipersiap jadi ejen perubahan iklim, tenaga hijau masa depan
KUALA LUMPUR – Seramai 450 murid Tingkatan 4 daripada 30 sekolah menengah di ibu negara dipilih untuk menyertai Projek Kepimpinan Perubahan Iklim dan Tenaga Hijau 2050 dalam melahirkan ejen perubahan masa depan.
Ia merupakan satu inisiatif pendidikan kesedaran iklim yang bertujuan melahirkan bakal pemimpin dalam menghadapi krisis iklim global yang semakin mendesak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, biar pun pelajar yang terlibat baru berada di Tingkatan 4 tetapi mereka mempunyai semangat yang setanding pemimpin dunia.

“Saya percaya, perubahan iklim memerlukan kepimpinan yang dibina dari sekarang. Kita tidak boleh menunggu generasi masa depan untuk bertindak.
“Kita mesti mempercayai bahawa anak-anak muda hari ini mampu menjadi ejen perubahan,” tegas Dr Zaliha melalui satu hantaran di Facebook hari ini.
Majlis yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Cochrane itu dianjurkan oleh Pertubuhan Lestari dan Kebajikan Malaysia.
Dr Zaliha turut menyeru agar generasi muda bukan sekadar mengetahui tentang perubahan iklim, tetapi memahami tindakan yang perlu diambil dan memiliki keberanian untuk melaksanakannya.
Dalam ucapannya, beliau juga menyentuh situasi kritikal perubahan iklim global yang sedang berlaku.
Ia merujuk kepada laporan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) di mana tahun 2024 direkodkan sebagai tahun paling panas dalam sejarah moden dengan purata suhu global mencecah 1.6°C, lebih tinggi berbanding zaman pra-industri.
Lebih membimbangkan, kajian yang diterbitkan dalam jurnal Earth System Science Data menjangkakan bahawa baki karbon global yang boleh dilepaskan bagi mengekalkan pemanasan di bawah 1.5°C kini tinggal hanya 143 gigaton.
Dengan kadar pelepasan semasa iaitu 46 gigaton setahun, had ini dijangka habis seawal tahun 2028.
“Dalam bahasa mudah, kita sedang menuju ke arah satu titik tidak boleh undur.
“Suhu meningkat, cuaca semakin ekstrem dan kehidupan di bandar raya seperti Kuala Lumpur bakal terdedah kepada gelombang haba, jerabu, tekanan kesihatan awam serta bencana iklim yang tidak menentu,” tegas beliau.
Projek Kepimpinan Perubahan Iklim dan Tenaga Hijau 2050 itu dilihat sebagai langkah awal untuk melatih pelajar-pelajar menengah menjadi pemimpin komuniti masa hadapan dalam isu kelestarian sekali gus menyumbang kepada pencapaian sasaran neutral karbon negara menjelang tahun 2050.
Program tersebut dijangka akan diperluaskan ke peringkat negeri-negeri lain, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kesedaran dan tindakan iklim disemai seawal usia sekolah sebagai pelaburan terhadap masa depan bumi yang lebih hijau dan selamat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








