Isu aduan jalan berlubang perlu selesai dalam tempoh 12 jam
PUTRAJAYA – Isu berkaitan aduan jalan berlubang di Wilayah Persekutuan perlu diselesaikan dalam tempoh 12 jam berbanding 24 jam sebelum ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa menegaskan bahawa langkah itu selaras dengan zero pothole policy di ketiga-tiga wilayah terutamanya di Kuala Lumpur.

“Ia penting kerana melibatkan keselamatan pengguna jalan raya selain bagi menyokong agenda Kepengerusian Malaysia dalam Persidangan ASEAN tahun ini dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Setakat ini, kira-kira 180 mesyuarat utama dijadualkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Justeru, persediaan komprehensif merangkumi pelbagai aspek kritikal seperti keselamatan, kesihatan awam, pengurusan komuniti dan kesiapsiagaan menghadapi bencana telah dilaksanakan secara menyeluruh oleh agensi-agensi berkaitan,” kata beliau dalam sidang media selepas Majlis Aspirasi bersama warga Wilayah Persekutuan di Auditorium Tun Azizan Zainal Abidin, Kompleks Perbadanan Putrajaya, di sini hari ini.
Tambahnya, beliau yakin tempoh penyelesaian aduan dapat disingkatkan dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pemantauan secara langsung untuk mengesan sebarang aduan dan menyelesaikan isu berkaitan penyelenggaraan.
“Sebanyak 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) yang canggih dan dilengkapi AI telah dipasang di sekitar Kuala Lumpur sebagai langkah meningkatkan keselamatan awam, kecekapan dan tindakan pantas kepada situasi kecemasan, insiden trafik atau pun aktiviti jenayah,” katanya.
Menurutnya lagi, aduan berkaitan boleh disalurkan terus kepada Adu@KL atau mana-mana saluran agensi yang menjadi ahli KL Strike Force.
Zaliha memberitahu, fokus beliau ketika ini adalah untuk menjadikan Wilayah Persekutuan sebuah bandar unggul yang boleh dijadikan sebagai penanda aras atau benchmark kepada bandar-bandar lain di Malaysia.
“Visi CHASE City bertujuan untuk memajukan ketiga-tiga wilayah dengan mengutamakan pembangunan mampan, inovasi, teknologi dan kesejahteraan masyarakat.
“Selain itu, penekanan juga diberi dalam menyampaikan perkhidmatan dengan tata kelola yang baik mengikut budaya kerja HARMONI (Hormat, Adil, Responsif, Mampan, Orientasi Rakyat, Nilai Empati dan Integriti) perlu dipraktikkan seluruh warga kerja Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan agensi-agensinya,” tegas beliau.
Untuk itu, Zaliha mahu satu pasukan petugas khas dipimpin oleh JWP dibentuk bagi mengkaji semula akta dan peraturan lapuk.
Hasil dapatan daripada kajian itu akan dibentangkan pada penghujung suku kedua tahun ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








