Empat termasuk Rafidah dibebas dengan jaminan polis
KUALA LUMPUR – Empat individu termasuk pelakon dan aktivis, Rafidah Ibrahim, yang ditahan selepas disyaki cuba mencetuskan kekecohan pada majlis pecah tanah pembangunan semula Kampung Sungai Baru, di sini semalam, dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah sebagai langkah pencegahan.
“Dalam banyak keadaan, kalau kita hanya bertindak selepas sesuatu berlaku, ia sudah terlambat. Sebab itu lebih baik kita ambil langkah pencegahan terlebih dahulu,” katanya ketika hadir pada Program Penyerahan Sumbangan Masih Ada Yang Sayang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Fadil menegaskan, keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa menjadi keutamaan polis dalam apa jua program atau himpunan, sama ada dianjurkan kerajaan, pihak lain mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Apa sahaja program dalam negara, sama ada oleh kerajaan, pihak lain atau NGO, keutamaan kami tetap keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
Fadil turut memberitahu, walaupun semua suspek telah dibebaskan semalam dengan jaminan polis, siasatan lanjut masih diteruskan
Terdahulu, empat individu berusia antara 39 hingga 47 tahun ditahan pukul 8.50 pagi semalam, selepas pihak polis menerima maklumat berhubung perhimpunan yang dijadualkan pukul 8 pagi di lokasi sama.
Mereka ditahan di sekitar kawasan tersebut selepas didapati menjerit dan mengganggu kelancaran majlis pecah tanah pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang dihadiri penduduk serta pihak berkuasa.
Individu sama turut disyaki terlibat dalam usaha menggerakkan perhimpunan susulan satu seruan protes yang dimuat naik melalui akaun TikTok pada 28 November, bertajuk “Majlis Pecah Tanah Kampung Sungai Baru”.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








