‘Hamzah masih Ketua Pembangkang’ – Timbalan Speaker
KUALA LUMPUR – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau hari ini mengesahkan dakwaan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang adalah berita palsu.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sesi petang persidangan, hari ini.
“Tan Sri Speaker (Johari Abdul) tidak menerima apa-apa surat dari Larut, jadi itu adalah berita palsu,” katanya.
Terdahulu, sebelum Hamzah memulakan sesi perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) bangkit mencelah dengan bertanyakan sama ada Hamzah sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pembangkang.
“Tuan Yang Dipertua, saya hendak minta petua. Kalau tidak silap saya, Larut sebelum ini menyatakan beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang.
“Adakah beliau sudah meletakkan jawatan atau belum. Saya hendakkan penjelasan kerana mengikut laporan (berita) dia sudah letak jawatan,” katanya.
Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) kemudiannya mempersoalkan atas peraturan mesyuarat yang mana perkara itu dibangkitkan sebelum membidas pertanyaan Poay Tiong sebagai berita palsu.
Pertanyaan Pengerusi DAP Melaka itu kemudiannya dijawab Alice dengan penafian perkara terbabit.
“Saya tengok laporan akhbar,” kata Poay Tiong lalu menimbulkan sedikit kekecohan dalam Dewan Rakyat.
Alice menjelaskan sekali lagi bahawa pertanyaan itu tidak berasas kerana tiada surat peletakan jawatan diterima hingga kini.
“Saya sudah kata Pejabat Tan Sri Speaker tidak menerima apa-apa. Larut tidak pernah menghantar apa-apa surat kepada Speaker jadi tidak ada asas,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








