Subsidi RON95: Muhyiddin nafi pertahan warga asing
KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau mempertahankan warga asing dalam isu subsidi petrol RON95.
Menurut bekas perdana menteri itu, tuduhan berkenaan dibuat Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
“Antara lain, Perdana Menteri menyatakan beliau mendengar ada Ahli Parlimen yang mempertahankan orang asing. Pagoh (Muhyiddin) kata kenapa bebankan orang asing kerana mereka juga ada sumbangan kepada negara.
“Saya menafikan tuduhan ini kerana saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sedemikian sama ada dalam bentuk kenyataan media, sidang media atau menjawab pertanyaan wartawan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut mencabar Anwar supaya mengemukakan bukti atau sumber kenyataan yang dikaitkan dengannya.
“Tuduhan Perdana Menteri jelas merupakan satu pembohongan di Dewan Rakyat,” tegasnya.
Terdahulu, Anwar semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri meminta pihak pembangkang merujuk semula kenyataan Muhyiddin yang didakwa mempersoalkan tindakan kerajaan membebankan warga asing melalui pelaksanaan penyasaran subsidi RON95.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN–Hulu Terengganu) yang memintanya menjelaskan siapakah Ahli Parlimen yang didakwa mempertahankan kebajikan warga asing susulan langkah rasionalisasi subsidi kerajaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment