Kenderaan dikejar polis rempuh rumah di Baling, disyaki terlibat kes curi kabel
BALING – Sebuah kenderaan pacuan empat roda yang merempuh rumah seorang warga emas di Kampung Parit Panjang tengah malam tadi dipercayai dipandu suspek kes curi kabel yang sedang dikejar polis.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, kejadian bermula pada pukul 11.40 malam apabila Ibu Pejabat Polis Daerah Baling menerima panggilan daripada bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik yang meminta bantuan menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna perak dipercayai dinaiki suspek kes curi kabel.
Menurutnya, kenderaan tersebut dikesan memecut dari arah Gerik menuju ke Kupang sebelum polis melancarkan operasi mengejar melibatkan kenderaan peronda MPV dari IPD Gerik, Pengkalan Hulu serta bantuan MPV dari IPD Baling.
“Kenderaan dinaiki suspek kemudian terbabas di kawasan Parit Panjang sebelum merempuh sebuah rumah penduduk.
“Penghuni rumah tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dua suspek lelaki yang berada dalam kenderaan itu berjaya melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.
Hasil semakan mendapati kenderaan berkenaan didaftarkan atas nama seorang wanita berusia lingkungan 20-an.
Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan itu menemukan 20 gulung kabel milik sebuah syarikat utiliti selain beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kabel, termasuk pencungkil besi, tiga pemotong kabel, tukul pemecah batu serta sebuah telefon bimbit yang dipercayai milik suspek.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh IPD Baling, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda maksimum RM15,000 serta penggantungan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun jika sabit kesalahan.
Dalam masa sama, Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan mencuri serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menyalurkannya kepada Polis Diraja Malaysia melalui talian kecemasan MERS 999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu media melaporkan seorang warga emas, Maimumah Idris, 76, dan anak perempuannya, Nasriah Baharom, 34, terselamat selepas dinding hadapan rumah mereka dirempuh kenderaan pacuan empat roda sekitar pukul 12.20 tengah malam ketika mereka sedang tidur di ruang tamu rumah berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















