JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik secara dalam talian mulai hari ini
PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menangguhkan sementara semua urusan tukar hak milik (THM) kenderaan menerusi saluran dalam talian berkuat kuasa hari ini susulan aduan berhubung pertukaran pemilikan tanpa pengetahuan pemilik berdaftar.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli dalam kenyataan berkata, penangguhan itu melibatkan portal awam, kiosk serta rakan niaga JPJ iaitu MyEG dan eAuto Sdn. Bhd.
Menurut beliau, tindakan kawalan segera itu diambil selepas pihak jabatan menerima beberapa aduan rasmi termasuk menerusi media sosial berkaitan insiden pertukaran hak milik kenderaan yang didakwa dilakukan tanpa kebenaran pemilik asal.
“JPJ memandang serius perkara ini, khususnya yang melibatkan aspek penyelenggaraan dan keselamatan rekod pendaftaran kenderaan di dalam sistem JPJ.
“Sehubungan itu, bermula 25 Mei 2026, semua urusan THM kenderaan bagi kategori persendirian individu dan persendirian syarikat hendaklah dilaksanakan melalui kaunter Pejabat JPJ,” katanya.
Menurut kenyataan itu, urusan THM bagi kategori persendirian individu boleh diselesaikan pada hari sama di semua pejabat dan cawangan JPJ di seluruh negara.
Bagi kategori persendirian syarikat pula, proses pengesahan dan kelulusan akan mengambil masa antara lima hingga tujuh hari bekerja bermula dari tarikh dokumen lengkap diserahkan kepada JPJ.
Dalam pada itu, JPJ memaklumkan hanya urusan Sistem Tukar Hak Milik Sementara (STMS) melalui penyedia perkhidmatan eAuto masih beroperasi seperti biasa.
Bagaimanapun, sistem eSerahan Tukar Milik (eSTM) bagi tukar hak milik kekal ditangguhkan sementara dan semua permohonan perlu dibuat secara fizikal di pejabat atau cawangan JPJ.
“JPJ kekal komited dalam memastikan pengurusan serta kawalan rekod pendaftaran kenderaan di dalam sistem JPJ sentiasa diperkukuhkan dan ditambah baik dari semasa ke semasa demi melindungi kepentingan pemilik kenderaan serta memastikan integriti sistem penyampaian perkhidmatan Jabatan terus terpelihara,” tegasnya.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa menyemak dan mengemaskini maklumat serta data terkini kenderaan masing-masing di JPJ.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








