BERITA SEMASA

Dakwaan rasuah bekas menteri: SEKPUR buat laporan SPRM

PUTRAJAYA – Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) di bawah naungan Persatuan Media Digital Malaysia (MEMO) hari ini membuat laporan kepada Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan sebuah portal dalam talian yang mendakwa terdapat transaksi mencurigakan berjumlah RM500,000 membabitkan seorang mantan menteri.

Menurut Ketua Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embon, laporan tersebut dibuat susulan keprihatinan NGO itu terhadap dakwaan berkenaan yang didakwa boleh menjejaskan integriti pentadbiran ketika bekas menteri itu masih memegang jawatan.

Beliau berkata, laporan itu turut merujuk kepada beberapa individu yang dinamakan dalam portal berkenaan, termasuk pihak yang didakwa menerima wang serta seorang individu berjawatan tinggi dalam sebuah kementerian.

“Dakwaan yang dikemukakan itu dilihat mempunyai asas yang boleh dipercayai dan sama ada ia benar atau tidak kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk lakukan siasatan,” kata Shahbudin yang mewakili NGO penyokong kerajaan itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan serta memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung SEKPUR, Mejar (B) Razali Zakaria.

Terdahulu, media melaporkan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menafikan dakwaan kononnya beliau menerima rasuah berjumlah RM500,000 daripada pemilik NexG Bhd, Datuk Abu Hanifah Noordin bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan pada tahun 2023.

Selain itu, Rafizi yan juga Ahli Parlimen Pandan, turut menyifatkan dakwaan yang disiarkan sebuah blog tersebut sebagai tuduhan tidak berasas, selain menjelaskan garis masa yang dinyatakan tidak mencerminkan keadaan sebenar ketika itu.

Beliau turut menegaskan tidak pernah bertemu dengan Abu Hanifah mahupun mana-mana individu daripada NexG sepanjang hidupnya, selain tidak mengenali individu yang disebut dalam penulisan blog berkenaan, iaitu Mohd Harizan Haris dari syarikat GFIS Sdn Bhd.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button