Pengarah Jabatan Kewangan PBT Melaka ditahan SPRM
MELAKA – Seorang pengarah Jabatan Kewangan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka semalam, kerana disyaki menyalahgunakan kuasa untuk melabur saham berjumlah RM50 juta.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan pada pukul 1 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.
“Suspek disyaki telah melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2020 hingga 2023 dengan melantik isterinya yang bekerja di sebuah bank sebagai agen pelaburan untuk saham berjumlah RM50 juta,” katanya.
Siasatan awal mendapati suspek juga dipercayai menggunakan dana awam serta wang amanah tanpa mendapat kelulusan daripada pegawai pengawal kewangan yang berkenaan.
Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini untuk tujuan permohonan reman,” tambahnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








