2,000 hingga 3,000 kontena e-waste diseludup masuk, SPRM perhebat siasatan
PUTRAJAYA – Dianggarkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena mengandungi sisa elektronik (e-waste) telah diseludup masuk ke negara ini melalui pelabuhan utama.
Tindakan itu mendorong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperhebatkan siasatan terhadap premis-premis yang terlibat dalam kegiatan haram berkenaan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, hasil risikan mendapati sindiket terbabit dipercayai mengimport e-waste bersama sisa plastik dan kertas untuk diproses atas alasan kitar semula.
“Syarikat-syarikat yang terlibat dipercayai dimiliki oleh warga asing.
“Komponen bernilai seperti tembaga, aloi dan emas akan diambil manakala baki sisa dilupuskan secara membakar, menanam atau dibuang terus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kaedah pelupusan tidak terkawal itu telah menyebabkan pencemaran serius terhadap alam sekitar termasuk kualiti udara dan sumber air.
“SPRM juga tidak menolak kemungkinan kegiatan berkenaan dilindungi oleh pihak berkuasa tertentu yang sepatutnya bertanggungjawab mengawal selia kemasukan sisa pepejal ke negara ini.
“Jika tidak dibanteras secara menyeluruh, kegiatan ini berpotensi mengakibatkan pencemaran serius kepada negara,” tegasnya.

Bagi menangani isu berkenaan, Ahmad Khusairi berkata, Mesyuarat Petugas Khas Berkaitan Penguatkuasaan E-Waste telah ditubuhkan, melibatkan penyertaan 12 agensi penguat kuasa.
Antara agensi terlibat ialah SPRM, Agensi Kawalan Penerimaan Sisa (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Mesyuarat ini akan meneliti keperluan undang-undang khusus berkaitan e-waste serta melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan bagi membanteras kegiatan penyeludupan sehingga ke akar umbi,” katanya.
Beliau menegaskan SPRM memandang serius isu berkenaan dan memberi amaran keras kepada mana-mana pihak berkuasa atau individu yang terlibat supaya segera menghentikan sebarang pengimportan e-waste secara haram.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








