BERITA SEMASA

Dakwa siasatan tidak menyeluruh, Chegubard serah dokumen tambahan kepada SPRM

PUTRAJAYA – Aktivis Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa masih terdapat kelemahan serta ketidaktelusan dalam beberapa siasatan berprofil tinggi yang dikendalikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, antara kes yang dibangkitkan termasuk siasatan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), institusi zakat Pulau Pinang, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) serta Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Sehubungan itu, beliau hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini bagi menyerahkan laporan tambahan serta melengkapkan butiran berkaitan kes-kes yang sebelum ini telah dibawa oleh PETA.

“Pertamanya berkenaan isu rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM. PETA amat tidak berpuas hati dengan perkembangan siasatan setakat ini.

“Memang ada aduan yang kita kemukakan dan SPRM bertindak, malah kerajaan juga memberi respons. Namun, respons tersebut tidak memadai sekadar kenyataan.

“Beberapa individu penting masih belum disiasat dan kartel dipercayai masih aktif,” katanya ketika ditemui pemberita.

Menurutnya, dua set dokumen baharu akan diserahkan termasuk maklumat tambahan serta tawaran saksi yang didakwa belum dipanggil untuk memberi keterangan.

“Pendakwaan setakat ini mengecewakan kerana rampasan dan pertuduhan dilihat tidak setimpal. Saya merasakan ada perkara yang belum terungkai,” dakwanya.

Dalam perkembangan berasingan, Chegubard turut menyentuh siasatan membabitkan Pusat Zakat Pulau Pinang dan merakamkan penghargaan kepada SPRM atas tindakan pantas melakukan serbuan serta menyita beberapa dokumen berkaitan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihaknya akan terus menyalurkan data tambahan bagi membantu siasatan.

“Sasaran kita di Pulau Pinang ialah Timbalan Ketua Menteri yang menguasai institusi agama dan hal ehwal Islam serta Melayu di negeri itu. Beliau wajar direhatkan sementara siasatan dijalankan.

“Berdasarkan data yang saya miliki, beliau perlu disiasat secara menyeluruh,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan laporan kewangan CUEPACS bagi tempoh empat tahun turut akan diserahkan kepada SPRM selepas mendakwa siasatan sebelum ini tidak menjurus kepada isu sebenar.

“Kita maklum terdapat surat pembekuan aktiviti oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja di bawah Kementerian Sumber Manusia. Namun siasatan perlu diperhalusi supaya benar-benar sampai ke punca,” katanya.

Mengulas kes melibatkan UTeM, Chegubard berkata, pihaknya telah membekalkan beberapa maklumat sebelum ini dan hari ini menyerahkan laporan yang lebih lengkap.

“Kita hargai tindakan apabila ada individu direman dan dibawa ke mahkamah, tetapi mereka bukan sasaran utama.

“Siasatan perlu menjurus ke peringkat tertinggi. Jangan jadikan mana-mana pihak sebagai kambing hitam,” tegasnya.

Beliau turut memaklumkan satu taklimat media akan diadakan pada jam 9.30 pagi esok di Syed Bistro, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur bagi membekalkan bahan rujukan lengkap kepada pengamal media.

Menurutnya, pihaknya juga akan menyerahkan surat penjelasan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM berhubung laporan Bloomberg yang didakwa mempunyai kaitan dengan isu-isu berkenaan.

“Setakat ini kita terus bekerjasama dan membantu SPRM. Esok semua media, termasuk pengamal media sosial dan agensi berkaitan dijemput hadir untuk penjelasan lanjut,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button