Suspek cuba samun van keselamatan direman enam hari
KUALA LUMPUR – Suspek cubaan samun sebuah van keselamatan dekat Klang, Selangor, Isnin lalu, direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar turut memaklumkan, siasatan awal mendapati lelaki itu bertindak bersendirian dalam kejadian berkenaan.
“Suspek direman enam hari sehingga 29 Julai. Siasatan mendapati suspek bertindak solo dalam kejadian itu,” katanya, hari ini.
Dalam kejadian Isnin lalu itu, suspek dipercayai cuba menyamun sebuah van keselamatan yang membawa wang tunai di hadapan sebuah bank di Bukit Tinggi, Klang.
Suspek yang gagal melarikan wang tunai tersebut susulan tindakan pantas pengawal keselamatan bertugas, bagaimanapun merampas selaras senapang jenis pump gun sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal.
Susulan kejadian, Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman melancarkan operasi khas sebelum menahan lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an di Shah Alam, pukul 11 pagi kelmarin.
Polis merampas semula selaras pump gun jenama Mossberg bersama sebutir peluru 12 bore, selain sepucuk pistol pelepas olahraga jenama Ekol Lite dan 48 butir peluru blank.
Semakan mendapati, suspek mempunyai satu rekod jenayah mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960. Kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













