Kebakaran paip gas: Ahli Parlimen Kota Raja turun padang, kerjasama dengan agensi
PUCHONG – Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu mengarahkan pejabat Parlimennya untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan yang berkenaan bagi membantu mangsa insiden yang terkesan dalam kebakaran saluran gas di Putra Heights, semalam.
“Saya telah berhubung dengan pihak berkuasa serta wakil-wakil agensi berkaitan bagi mendapatkan maklumat lanjut.
“Saya juga telah mengarahkan staf saya untuk meninjau lokasi kejadian dan membantu dalam usaha menyampaikan bantuan segera,” katanya dalam satu kenyataan.
Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas di Putra Heights, Puchong semalam menggemparkan negara apabila lebih 100 orang cedera serta menyebabkan ratusan rumah dan kenderaan mengalami kerosakan teruk.
Mohammad Sabu turut menyambut baik komitmen segera Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memberi jaminan pembaikan menyeluruh terhadap infrastruktur yang rosak serta memastikan kebajikan mangsa terjaga.
“Siasatan terperinci dan telus perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan memastikan langkah keselamatan diperkukuh bagi mengelakkan tragedi sebegini daripada berulang,” tambahnya.
Selain itu, beliau merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan Ahli Parlimen yang berjiran dengan kawasan Kota Raja serta semua agensi kerajaan, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, polis, petugas perubatan dan pihak berkuasa tempatan yang bertindak pantas dalam operasi menyelamat serta mengawal keadaan.
“Saya menyeru semua pihak agar bertenang, mematuhi arahan keselamatan, dan saling membantu dalam menghadapi musibah ini.
“Semoga mangsa yang sedang dirawat segera pulih dan kita semua diberi kekuatan untuk bangkit bersama,” katanya.
Kebakaran yang berlaku semalam telah mengakibatkan kerosakan infrastruktur yang meluas dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan rapi bagi mengenal pasti punca sebenar insiden ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








