BERITA SEMASA

Poster galak tanam ganja oleh Mohamad Sabu adalah manipulasi digital

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menafikan penularan imej palsu di media sosial yang mendakwa menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu menggalakkan penjawat awam menanam ganja di rumah.

Kenyataan rasmi daripada Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan hari ini menjelaskan bahawa kandungan tersebut dihasilkan secara manipulasi digital, fitnah dan berpotensi mengelirukan orang awam.

“YB Menteri tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian,” menurut kenyataan itu.

Susulan penularan imej palsu berkenaan, satu laporan rasmi telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan siasatan serta tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang terlibat.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan imej palsu atau sebarang kandungan tidak sahih, sebaliknya merujuk kepada saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan dipercayai.

Gambar yang tular di media sosial berkenaan memaparkan Mohamad Sabu duduk melihat himpunan pokok ganja dengan tajuk ‘Mat Sabu Cadang Penjawat Awam Mula Tanam Ganja Di Rumah Susulan Konflik Di Asia Barat’.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button