POLITIKBERITA SEMASA

AMANAH yakin menang berbelas kerusi di Kelantan pada PRU akan datang

KLANG – Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu optimis parti itu mampu memenangi berbelas kerusi di Kelantan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang meskipun berdepan cabaran menentang parti yang menguasai negeri tersebut.

Menurutnya, perpaduan dalam kalangan ahli parti akan menjadi faktor utama bagi memastikan kejayaan itu.

“Memang sukar nak hadapi parti lawan yang memerintah negeri tapi saya yakin pilihan raya akan datang kalau perpaduan kita baik, kita akan menang berbelas kerusi di Kelantan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen Nasional AMANAH di sini, hari ini.

Ketika ini, AMANAH hanya memiliki satu daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, manakala PAS menguasai 42 kerusi dan selebihnya dua kerusi dimiliki Barisan Nasional (BN).

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut mengakui terdapat pergolakan dalam kalangan ahli AMANAH di Kelantan, namun menyifatkannya sebagai tanda positif perkembangan parti.

“Rakan-rakan AMANAH di Kelantan memang bergolak. Kenapa? Sebab semua nak tunjuk, kamilah hebat maka berlakulah pergolakan.

“Sebab itu, bila saya dengar ada pergolakan di satu kawasan, saya tenang sebab (nanti) tentu maju (AMANAH) di kawasan ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menggesa ahli parti supaya memulakan kempen kecil-kecilan sebagai persediaan menghadapi PRU akan datang.

“Jangan lupa pilihan raya lepas, Perikatan Nasional (PN) memerintah kempen berjalan begitu hebat dan kali ini mereka tidak memerintah.

“Sebab itu, saya yakin undi orang ramai akan berubah pada pilihan raya datang. Mulai balik hari ini ceramah kecil dalam kelompok kita,” katanya lagi.

AMANAH kini bersedia merangka strategi lebih agresif bagi memastikan parti itu mencipta kejayaan di negeri pantai timur tersebut sekaligus mengukuhkan kedudukannya dalam arena politik tanah air.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button